Ketika menyaksikan pertarungan finalis akhir Akademi Al-Quran musim keempat (AQ4), Husni Ali Hassan, Muhammad Ahmad Zahid, Ahmad Tirmizi Ali dan Yahya Ali, ramai yang menjangkakan peserta paling muda, Muhammad, akan menjadi juara program realiti tersebut.

Bagaimanapun, peserta yang baru berusia 15 tahun itu sekadar meraih tempat kedua, manakala takhta juara dipegang oleh Tirmizi sekali gus menerima hadiah trofi AQ4 sumbangan ZRA Glocal Sdn. Bhd, wang tunai berjumlah RM30,000, pakej umrah tajaan Irna Yakin Sdn Bhd dan sebuah al-Quran digital daripada Enmac Sdn Bhd.

Mereka diadili oleh tiga juri profesional iaitu Ustaz Mohd Nazeri Abdullah, yang bertanggungjawab menjaga markah qiraat sebanyak 30 peratus, Ustaz Radzi Kamarul Hailan (menjaga 30 peratus markah tarannum) dan Ustazah Asni Mansor (30 peratus bagi tajwid dan fasohah dan 10 peratus penghayatan).

Tirmizi gembira dengan kemenangannya itu kerana dapat menebus kekecewaan dua abangnya, Mohd Muslim dan Mohd Hafaz, yang sebelum ini hanya berada di tempat kedua dan ketiga AQ musim kedua.

Graduan Sarjana Muda Qiraat dari sebuah universiti di Mesir itu berkata, kemenangannya itu adalah satu rezeki yang besar buatnya dan ingin membawa ibunya ke tanah suci Mekah.

“Saingan semua finalis sememangnya sengit tapi Alhamdulillah, kemenangan ini adalah satu rezeki buat saya.

“Saya seorang guru mengaji di sebuah masjid. Situasi mengajar dan mengaji di atas pentas begitu berbeza. Apatah lagi bila kamera sentiasa menghala ke wajah kita. Ia membuatkan kita gusar.

“Tapi setiap detik sepanjang saya disini adalah satu pengalaman yang tak mungkin saya dapat di luar,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pelajaran peringkat Sarjana dalam bidang Tarannum di mana-mana universiti tempatan.

GAYA seorang juara. Tirmizi memberi bacaan terbaik untuk menumpaskan tiga orang saingannya.

Sementara itu, menurut Muhammad, walaupun kalah dengan saingan terdekatnya, Tirmizi, kemenangan tempat kedua sudah cukup besar untuk dirinya yang masih muda mencari ilmu.

“Kehadiran saya di AQ4 cuma inginkan ilmu dan pengalaman sahaja. Kemenangan itu merupakan satu bonus.

“Kalau nak belajar di luar, sudah pasti kosnya mahal. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar cara menguasai qiraat.

“Kini, apa yang saya harapkan, agar mesej dakwah saya dapat disampaikan pada semua khususnya masyarakat Islam,” katanya yang telah mendapat pujian daripada ketiga-tiga juri pada pertandingan tersebut.

Para finalis bukan sahaja membaca al-Quran, tetapi mereka turut mendalami ilmu pembacaan kitab tersebut seperti tarannum, qiraat serta pecahan-pecahan, fasohah, bayati dan paling utama, penghayatan pembacaan peserta.

Peserta turut dinilai melalui ilmu pengetahuan dalam mentafsirkan ayat- ayat al-Quran agar mereka lebih menghayati kandungan kitab suci al-Quran.

Muhammad membawa pulang hadiah wang tunai RM 15,000, sebuah al-Quran digital dan trofi manakala Yahya yang mendapat tempat ketiga menerima wang berjumlah RM10,000, sebuah al-Quran digital dan trofi.

Husni pula mendapat tempat keempat dengan membawa pulang wang berjumlah RM2,000 serta sebuah digital al-Quran.

Hadiah telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejor Jeneral (B), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top