Selain menghidap masalah jantung, Allahyarham turut menderita diabetes namun pada saat akhir hidupnya, beliau yang dikenali sebagai seorang yang kelakar masih sempat berseloroh dengan keluarganya.
Pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Malaya (UM) itu terkenal dengan lagu menyentuh perasaan terutama album semasa dengan Kumpulan Harmoni seperti Penantian, Nyanyian Ombak dan Sewaktu Hujan Berbisik.
Antara kejayaan yang pernah dicapainya ialah Pencipta Lagu Terbaik, Balada Seorang Gadis Kecil pada Pesta Lagu Malaysia 1983, Penulis Lirik Terbaik (Ma'al Hijrah) pada Pesta Lagu Ma'al Hijrah 1994 dan Pencipta Lagu Terbaik (Kau Tahu) pada Pesta Lagu Ma'al Hijrah 1995.
Isterinya, Fauziah Ismail, 53, berkata selepas menjalani pembedahan pintasan, Allahyarham kelihatan sihat namun keadaan kembali teruk Isnin lalu.
“Arwah sempat berseloroh kalau dia meninggal dunia, kebumikan di Bukit Kiara tapi kalau di situ penuh, bawa dia pulang di tempat kelahirannya di Alor Star, Kedah.
“Walaupun hanya bergurau, tetapi saya sebenarnya sudah sedar dan bersedia kerana keadaan kesihatan arwah ketika itu semakin teruk,” katanya yang ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, semalam.
Menurutnya, walaupun kehilangan suami tercinta, namun dia amat berterima kasih dengan jagaan rapi doktor sepanjang dirawat di hospital.
Menyifatkan suaminya sebagai seorang yang manja dan kelakar, Fauziah berkata, dia akan merindui Allahyarham yang sebelum ini sentiasa menyokong dan ada di sisinya.
Bekas vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip, yang ditemui pula menganggap Allahyarham sebagai seorang yang sederhana, tenang dan bersahaja ketika mendendangkan lagunya.
“Apa tidak dapat saya lupakan mengenai arwah, dia sentiasa menegur saya setiap kali habis membuat persembahan dengan mengatakan nyanyian saya menyebabkan bulu romanya meremang.
“Dia memang seorang yang memiliki karakter lembut, tenang dan bersahaja malah seorang rakan yang baik,” katanya.
Menurutnya, Allahyarham banyak meninggalkan kenangan manis terutama lagu puisinya.
Allahyarham meninggalkan tiga anak, Fauzul Azhan, 30, Badiatul Adawiyah, 25, dan Raihan Nurani, 23.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara petang semalam.
Oleh Muhd Izawan Baharin
0 ulasan:
Catat Ulasan