Buktinya, filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., (LCPSB) itu merupakan filem tempatan termahal dengan kos hampir RM4 juta.
Malah, sejak ditayangkan pada 12 Februari lalu di pawagam-pawagam seluruh negara, Geng berjaya mengaut kutipan tiket lebih RM4 juta.
Difahamkan kebanyakan tiket tayangan filem itu pada hujung minggu juga habis dijual walaupun adakala jumlah tayangannya tujuh kali sehari!
Ada juga pawagam yang terpaksa menambah jumlah pawagam kerana tidak mampu menampung bilangan penonton yang bertambah.
Filem arahan Mohd. Nizam Abd. Razak itu berjaya membuatkan tauke pawagam-pawagam tersenyum lebar kerana sambutan di luar dugaan itu.
Namun, agak menghairankan ketika sambutan Geng semakin hangat, pihak pawagam kononnya dikatakan mahu menarik tayangan filem tersebut.
Antara alasan tidak masuk akal yang diberi kerana mereka mahu 'memberi laluan' kepada banyak filem lain termasuklah filem tempatan dan asing.
Persoalannya, mengapa perlu ditarik tayangan filem yang sedang mendapat sambutan ramai berbanding filem lain yang mereka belum pasti untungnya?
Biasanya filem tempatan yang melalui Skim Wajib Tayang dan bermasalah kalau tayangannya di pawagam selama 14 hari tidak mendapat sambutan para penonton.
Ini kerana, pihak pawagam boleh menarik tayangan sesebuah filem itu jika sambutannya dingin dan akan digantikan pula dengan filem lain.
Bagaimanapun, dalam kes Geng ia terbalik kerana biarpun sambutannya hebat tetapi tayangannya pula mahu ditarik kerana alasan yang tidak logik itu.
Secara logiknya, pawagam tentulah akan memanjangkan tayangan sesebuah filem jika sambutannya baik kerana ia akan menguntungkan mereka.
Dalam kes ini, seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena apabila masalah seperti itu timbul kerana ia jarang-jarang berlaku dalam industri perfileman tempatan.
Pihak-pihak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) haruslah tampil ke depan bagi membantu masalah yang sedang dihadapi oleh filem seperti Geng.
Sebabnya, bukan selalu filem tempatan seperti Geng mencipta fenomena dengan mengalahkan kutipan tiket filem-filem hebat dari luar negara.
Geng misalnya, mengutip kutipan tiket RM1.75 juta pada minggu pertama tayangannya mengalahkan filem Hollywood seperti Valkyrie.
Dimaklumkan, Geng turut menewaskan filem seperti The Curious Case of Benjamin Button dan Slumdog Millionaire yang turut ditayangkan serentak ketika itu.
Apa pun tahniah kepada Finas kerana mewujudkan Skim Wajib Tayang selama 14 hari kepada filem-filem tempatan untuk dipatuhi oleh pihak pawagam.
Tetapi nampaknya ia masih belum memadai dan Finas harus mengemaskini skim itu supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa.
Finas misalnya, boleh menambah peraturan skim itu dengan mensyaratkan pihak pawagam melanjutkan tayangan filem jika sambutannya baik.
Lanjutan tayangan itu boleh diberi kepada filem yang berjaya menarik lebih 30 peratus penonton ke pawagam selepas sahaja tempoh Skim Wajib Tayang tamat.
Senario itulah yang berlaku kepada Geng kerana biarpun selepas 14 hari ditayangkan, tetapi filem animasi itu terus mendapat sambutan hebat para penonton.
Biarpun selepas tamat Skim Wajib Tayang, namun filem itu masih mampu menarik lebih 30 peratus penonton dalam kapasiti sesebuah pawagam ketika ia ditayangkan.
Selain Finas, persatuan seperti Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) juga sepatutnya tampil ke depan membantu Geng.
PFM mahupun Finas seharusnya campur tangan membela filem Melayu seperti Geng dan berdepan dengan pihak pawagam supaya masalah itu dapat diatasi.
Tindakan segera perlu diambil kerana filem edaran Grand Brilliance Sdn. Bhd., itu mampu meraih kutipan tiket lebih RM5 juta dalam waktu terdekat ini jika ia terus ditayangkan.
Jika tidak, ia bukan sahaja akan merugikan pihak penerbit seperti LCPSB dan pawagam daripada segi kutipan tiket yang bakal mereka raih.
Malah, para peminat watak popular Upin dan Ipin dalam filem itu juga akan berputih mata kerana masih ramai lagi yang belum menontonnya di pawagam.
cxc ffxd ssfcx iiiisshhh???
BalasPadam