Beliau yang menyambut hari lahir ke-61 semalam berkata, akibat kesilapan itu, hidupnya ‘terseksa’ kerana menerima puluhan panggilan telefon saudara, rakan dan kenalan sejak pagi.
“Saya terkejut apabila mendapati ada laporan berita kematian saya menerusi ulasan akhbar di televisyen.
“Tidak lama selepas itu, imam surau berdekatan pula datang ke rumah untuk ‘menziarahi’ saya tetapi terkejut apabila mendapati laporan itu tidak betul,” katanya yang ditemui di kediamannya di Taman Puncak Jalil di sini, semalam.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu berbentuk jenaka dan sindiran itu berkata, sejak pagi, isteri, Maimun Mat Zain, 59, tidak putus-putus menerima panggilan manakala anak sulungnya, Mozard, 35, yang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Birmingham, England, tidak senang duduk dengan berita itu.
“Sepanjang hari kecoh, apabila ada saudara yang datang dari Kelantan dan Johor, ada yang datang ke rumah sambil menangis, malah ada yang terkedu apabila mendengar suara saya mengangkat telefon.
“Hari ini (semalam) memang cukup menyusahkan dan saya letih mengangkat telefon untuk memberi penjelasan. Boleh dikatakan telinga saya panas kerana kerap menjawab telefon,” katanya yang masih aktif mencipta lagu.
Menurutnya, berita membabitkan hal kematian bukan sesuatu yang kelakar dan faktanya perlu diperiksa dengan teliti.
“Saya tahu mengenai kematian Allahyarham Mohd Mokhtar Othman di Johor semalam (kelmarin) dan beberapa rakan artis menghubungi saya kerana keliru tetapi saya terkejut apabila banyak akhbar hari ini (semalam) melaporkan saya pula yang meninggal dunia.
“Saya harap pihak berkenaan mendapat pengesahan pihak berkaitan seperti Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) atau Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengenai maklumat artis lama bagi mengelak kesilapan seperti itu berlaku,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan