Undian dan pemilihan yang ditentukan 100 peratus oleh empat panel juri melayakkan Avidity merangkul hadiah wang tunai RM20,000 dan kontrak rakaman album berjumlah RM60,000 bersama syarikat rakaman Monkey Bone.
Avidity yang dianggotai oleh empat anggota dan ditubuhkan di Kuala Lumpur itu merupakan kumpulan yang mengetengahkan muzik 'rock kapak' iaitu istilah yang cukup popular untuk aliran muzik rock era tahun 1980-an dengan mengalahkan tiga lagi finalis lain.
Pada pertandingan akhir itu, Avidity yang dianggotai oleh Mohd. Yusof Ahmad, 26, selaku vokalis, Fazreen Rezza Romli, 22, (gitaris), Mohd. Zul Azri Ismail, 19, (bassis) dan Valentine Arthur Dangin, 23, (dram) menyampaikan tiga buah lagu berjudul Hukum Karma (Wings), Mentari Merah Di Ufuk Timur (Search) dan Kasihnya Laila (Jinbara).
Selain Avidity, persembahan tiga lagi finalis Twisties Bingit tidak mengecewakan terutamanya Floor 88 yang menampilkan gaya suara vokalisnya, Muhammad Ar. Rashidin Tuah, 18, yang bukan sahaja tersendiri tetapi dengan seleksi lagu-lagu yang lebih segar dan terkini.
Floor 88 yang lebih cenderung kepada muzik alternatif punk rock pada petang itu menyampaikan tiga buah lagu berjudul Basket Case yang dipopularkan oleh kumpulan Green Day, Check Yes Juliet (We The Kings) dan Bencinta (Faizal Tahir) memang mempunyai 'faktor x' tetapi mereka mungkin terlepas pandang oleh panel juri.
Dengan kemenangan itu, Avidity akan memasuki studio rakaman tidak lama lagi bagi merakamkan album single yang diterbitkan oleh Edrie Hashim di bawah naungan Monkey Bone selain diberi peluang beraksi pada Konsert Rock The World di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 26 Disember ini.
Di samping Avidity, tiga lagi finalis Twisties Bingit iaitu Floor 88, The Musicians dan Rocket Planet juga akan diberi peluang mengadakan persembahan pada festival muzik rock terbesar yang akan dijayakan oleh lebih 30 kumpulan muzik tanah air itu.
Malah, pemenang tempat kedua Twisties Bingit iaitu Rocket Planet menerima hadiah wang tunai RM10,000, tempat ketiga, Floor 88 (RM6,000), tempat keempat, The Musicians (RM2,000) dan tempat kelima, Digital pula menerima RM2,000 pada pertandingan akhir yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Kraft Malaysia & Singapura, Dieter Schulz selaku penaja utamanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan