8TV memulakan pencarian bakat baru dalam tarian untuk menyertai program realiti terbitannya, Showdown yang akan mula disiarkan pada Mac depan.

Sesi uji bakat akan diadakan bermula 9 hingga 31 Januari depan. Hadiah wang tunai RM50,000 menjadi ganjaran dan umpan untuk terus memastikan misi mencari bakat tarian ini berjalan. Tarian jalanan atau street dance menjadi genre tarian yang diutamakan dan setiap kumpulan diwakili lima hingga ketujuh orang penari.

Uji bakat terbuka tanpa ada batas usia, namun bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun perlu mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim, berkata idea menghasilkan program terbabit adalah susulan daripada kejayaan yang dilakar menerusi program So You Think U Can Dance (SYTUCD).

“Ini peluang kepada mereka yang meminati bidang tarian mengetengahkan bakat yang ada ke pasaran lebih besar. Program ini menjadi pendedahan terbaik untuk mencuri perhatian dan ruang kerjaya profesional pada masa mendatang.

“Kami tak membataskan untuk peserta amatur semata-mata. Peserta profesional juga dialu-alukan,” katanya ketika sidang media program terbabit diadakan baru-baru ini di KL Live, Jalan Sultan Ismail.



Seperti kebanyakan pertandingan realiti lain, undian SMS juga dipraktikkan. Bagaimanapun peranan juri profesional yang dipilih akan membantu peserta berbakat yang kurang undian untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Joe Flizzow dan Maple Loo diberi tanggungjawab sebagai juri kerana kelayakan bidang mereka bukan satu persoalan lagi. Penyampai radio Fly FM, Hafiz Hatim pula sebagai pengacara. Dengan keupayaan Hafiz berbahasa Inggeris dan Melayu serta kelincahannya, dia calon terbaik mengemudi program ini,” kata Kim lagi sambil ditemani penerbit Showdown 2010, Zebedee De Costa.

Sementara itu, Joe Flizzow yang ditemui berkata, usaha yang dilakukan 8TV ini wajar dipuji. Dia menafikan bahawa kerjaya tarian ini tidak mempunyai masa depan dan sekadar suka-suka.

Joe yang mula dikenali menerusi Too Phat, berkata persembahan tarian juga sudah mula berkembang pesat sejak kebelakangan ini.

“Menerusi pengalaman dan pengamatan saya sendiri, ada daripada mereka yang menjadikan bidang tarian sebagai hobi sejak di bangku sekolah lagi. Malahan cabang ini juga dimanfaatkan untuk tujuan berfaedah seperti bekerjasama dengan organisasi tertentu dan penaja. Kalau dibuat dengan konsisten, bidang ini turut boleh jadi mata pencarian.

“Tapi untuk terus mendapat kerjaya yang stabil, mereka perlu berorientasikan bisnes. Saya ada kawan yang sudah boleh membuka studio tarian. Bukan bidang ini saja, bidang lain pun kalau kena gayanya memang akan ada masa depan. Negara kita juga sudah ada wakil penari yang diamanahkan bertanding ke peringkat luar negara.

“Jika dulu bidang ini lebih dikuasai Korea, Jepun dan Filipina. Tapi sekarang, negara kita juga boleh bersaing dan mencapai kejayaan yang sama seperti negara terbabit. Kita sebenarnya ada bakat mentah yang tercicir dan selalunya saya nampak di pertandingan tarian. Harapnya dengan wujudnya program ini mereka boleh mencuri peluang,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top