SENJA PERMAI sebuah drama bersiri yang mempunyai 68 episod. Ikutilah kisah menarik suka duka tiga keluarga yang akan disiarkan di Astro Prima (Saluran 105) Disember ini.

Drama ini telah diarahkan mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia. Mensasarkan penonton daripada semua peringkat umur drama ini sememangnya sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga.


Kisah tiga keluarga ini bermula dengan Rahman lakonan Norman Hakim yang mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air bersama isterinya Shazlina (Marissa Yasmin) dan anak mereka, Danial (Aeril Zafrel) dan Yasmine (Elfira Loy) selepas lapan tahun mencari rezeki di di New York.

Zahirnya keluarga Rahman nampak tenang, namun ada konflik yang besar. Shazlina pernah menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki Barat meninggalkan parut yang amat dalam di jiwa Rahman. Sejak kembali ke Kuala Lumpur, dia tidak melupakan kecurangan Shazlina.

Sementara itu, Nik Mazlan (Hafizuddin Fadzil) adalah seorang ayah yang tegas kepada tiga anaknya, Ayeesha (Ainul Aishah), Adeena ( Lisa Loy) dan Ameena (Erin Ezzryn) serta suami kepada Khaleeda (Dian P.Ramlee). Konflik awal buat dirinya ialah dia tidak dihormati oleh seorang pegawai wanitanya, Laila, sekali gus mencabar egonya.

Dia enggan mengakui kelemahan, namun hari demi hari, Nik Mazlan mula merasai keserasian dengan Laila yang membuatkan isterinya, Khaleeda berasa terpinggir. Lantas Khaleeda mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran yang akhirnya merungkai rahsia besar Nik Mazlan. Ayeesha pula menjalinkan hubungan dengan lelaki berumur dan ini amat tidak disenangi Nik Mazlan dan Khaleeda.

Adeena, anak kedua mereka yang berjiwa romantik, sudah jatuh cinta pandang pertama pada Danial. Berusaha keras untuk mencurahkan rasa cinta pada Danial, namun cintanya bukan saja tidak dibalas malah Adeena merasakan diri dikhianati apabila Danial menjalinkan hubungan dengan orang yang rapat dengannya. Manakala, Ameena, anak yang paling dimanjai keliru antara persahabatan dan percintaan.

Kisah di Senja Permai ini tidak lengkap tanpa watak Hairi (Faizal Hussien) seorang ahli perniagaan berjaya yang kelihatan baik hati, alim dan pemurah. Namun hakikatnya, Hairi adalah seorang yang licik memperdaya ramai orang melalui skim cepat kaya. Hairi laparkan penghormatan, kekayaan dan nama.

Baginya status adalah segala-galanya. Namun, kasihnya terhadap isteri tercinta, Mimi (Zarina Zainuddin) amat tulen. Mimi umpama permata Hairi. Mimi, berusia lewat 20-an, juga dahagakan status. Mimi sanggup melakukan apa saja untuk menyertai golongan elit dan ternama. Walaupun beberapa kali dipinggirkan dan menjadi bahan jenaka, Mimi tetap berusaha. Hairi dan Mimi belum dikurniakan anak, namun itu tidak pernah menjadi konflik perhubungan mereka.

Laman Web Senja Permai

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top