Amy Search, Ella dan dua kumpulan indie generasi baru, Hujan dan Bunkface antara daya tarikan yang menggamit penonton ke konsert Ambang 2010 pada 31 Disember ini di Dataran Merdeka. Konsert ini kali kelima dianjurkan kumpulan AmBank sejak 2003.

Konsert ini mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sementara itu, Raja Azura dan Zainal Alam Kadir akan memikul tugas sebagai pengacara pada malam konsert yang dijangka bermula jam 8 malam.

TV2 pula akan menjadi penyiar rasmi dan akan disiarkan secara langsung pada jam 10.30 malam. Amy berkata, disiarkan di TV, tetapi ia tidak menghalang orang ramai menyaksikan konsert itu secara langsung di Dataran Merdeka.

“Suasana menonton di depan TV dan secara langsung sebenarnya memberi situasi berbeza. Dalam konsert itu, saya akan mendendangkan empat lagu, antaranya Isabella dan Fantasia Bulan Madu,” kata Amy pada sidang media konsert terbabit minggu lalu di Restoran Seri Melayu.

Bagi Zainal Alam Kadir, dia begitu teruja mengacarakan konsert itu di samping Raja Azura.

“Tak sangka, saya sekali lagi dipanggil AmBank untuk terbabit sama pada tahun ini. Ia satu pengalaman yang indah untuk dikenang dan harapnya ia satu permulaan yang baik untuk saya pada 2010,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata, jumlah pengunjung Konsert Ambang 2010 akan daripada tahun tahun lalu yang menyaksikan kehadiran hampir 70,000 penonton.

“Terima kasih kepada DBKL kerana sudi bekerjasama lagi. Selain empat penyanyi utama ini, kita juga mengundang penari pelbagai budaya dan agama dalam konsep yang lebih muhibah seperti penyanyi Permata Negara, Sivakumar, Era, Sokagakai, Bhangra Gold Kartz dan The Singing Shop.

“Penari dan orkestra daripada DBKL juga akan turut sama terbabit menambahkan lagi warna dalam konsert ini. Apa yang kami persembahkan ini sebahagian daripada tanggung jawab sosial korporat kami kepada masyarakat tempatan dan pelancong,” katanya.

Turut hadir di majlis sidang media ini ialah Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.

Salleh berkata, apa yang dilaksanakan AmBank dan pihaknya adalah dalam misi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berfestival. sejajar dengan hasrat untuk membawa imej baik kepada negara.

“Selain di Dataran Merdeka, sambutan juga akan diadakan di Bukit Bintang, KLCC dan Solaris, Mont Kiara. Cuma di samping kita seronok berhibur, masyarakat harus meletakkan kepekaan untuk menjaga tingkah laku dan kebersihan,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top