Filem Santau - Dendam Sampai Mati


JUDUL: Santau
PELAKON: Esma Danial Md Isa, Putri Mardiana Zainal Abidin, Farisya Fatin Faisal, Riezman Khuzaimi, Bob Lokman, Mariani, Hafidzuddin Fadzil
PENGARAH: Azhari Zain
GENRE: Seram, Cemas
TAYANGAN: Mulai 10 Disember 2009

Ingat ilmu hitam, serta merta terbayang mengenai penyiksaan yang ditanggung oleh mereka yang menjadi mangsanya. Antara perkara paling dekat dengan masyarakat Melayu apabila memperkatakan mengenai ilmu hitam adalah santau.

Bukan saja popular di kalangan masyarakat Melayu, santau juga diamalkan bangsa lain. Misalnya, di Kepulauan Carribean atau di masyarakat Barat, ilmu santau ini hampir sama seperti amalan vodoo.


Cuba yang berbeza hanyalah bagaimana cara santau itu dilaksanakan. Justeru apabila kisah santau dijadikan filem, pastinya apa yang disajikan itu cukup menakutkan dan mengerikan.

Ini dibuktikan menerusi filem ke-32 terbitan Metrowealth (MIG) yang juga menggunakan judul yang sama, Santau. Melihat kepada trailer awal filem ini, tidak dapat dinafikan Santau adalah filem seram yang sehebat filem Jangan Pandang Belakang.

Berpaksikan kepada tagline Dengki Sampai Mati, filem arahan Azhari Zaini ini bukan saja menakutkan, malah sarat dengan babak meloyakan.

Filem ini berkisar kepada kehidupan sepasang suami isteri, Halim dan Nina bersama anak perempuannya Tuti dalam keadaan kucar kacir apabila pelbagai kejadian pelik menghantui hidup mereka.

Peristiwa pelik itu mula berlaku selepas jiran baru berpindah bersebelahan rumah mereka. Sejak itu, satu demi satu kejadian mengerikan berlaku sehingga ia hampir meragut nyawa isterinya. Walaupun pada awalnya Halim tidak mempercayai apa yang berlaku adalah gara-gara perbuatan khianat, namun selepas menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri, barulah dia mempercayainya.

Seperti filem seram lain, Santau banyak bermain dengan sudut kamera yang mampu membuatkan dada penonton berdebar-debar. Latar muzik dan bunyi turut membantu membangkitkan suasana menakutkan. Tidak hairanlah ada penonton yang menonton filem ini di sebalik celahan jari.

Meskipun ada di antara imej hantu dalam filem ini adalah ulang tayang dari filem seram yang pernah diterbitkan syarikat ini, namun kehadirannya tetap meremangkan bulu roma. Jika dulu Mak Mah sering membawakan watak hantu, kali ini tugas itu dilaksanakan dengan jayanya oleh pelakon veteran, Mariani.

Bukan saja seram, Santau juga cukup menggelikan kerana ia memaparkan babak Nina memakan ulat hidup. Memang meloyakan namun demi menghidupkan lagi watak sebagai mangsa santau, rasa geli atau loya terpaksa dilupakan buat seketika.

Pujian sewajarnya diberikan kepada Putri Mardiana kerana memberikan lakonan yang mantap sebagai mangsa santau. Ekspresi wajah serta penderitaannya menghidupkan lagi watak Nina, watak pertamanya sebagai pelakon utama di layar perak.

Jalan cerita Santau amat mudah difahami. Penceritaannya ringkas dan tidak berbelit-belit. Pengarah dan penulis skrip ini cukup bijak dalam menyusun penamat. Sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku pada penghujungnya. Selamat menjerit di pawagam.

Oleh Farihad Shalla Mahmud

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top