DI atas kertas putih, lagu ciptaan tujuh finalis Keynote sudah mendapat persetujuan dekan program itu, Ajai. Untuk merealisasikan tugas itu, tujuh artis berpengalaman sudah dipilih untuk mempersembahkan semua lagu itu mengikut gaya masing-masing.

Debaran final lebih dirasakan apabila kreativiti Faan, Rina, Nazrin, Nero, Keroz, Khoo dan Nomad, bersaing untuk kali terakhir menentukan juara mutlak program realiti pencarian komposer pelapis muda.

Persoalan akan terungkai apabila hanya seorang saja mendapat status itu pada pentas final di Hall of Fame Universiti Multimedia Lim Kok Wing, Cyberjaya, jam 8 malam ini, Selasa. Namun siaran ini akan ke udara di kaca TV, pada Rabu.

Pada empat minggu awal saingan, 12 peserta disyaratkan mencipta sebuah lagu. Pada final minggu kelima ini, semua finalis perlu menyiapkan sebuah lagu selain bekerja secara berkumpulan. Lagu ciptaan mereka akan disampaikan artis berpengalaman yang pernah meraih pelbagai anugerah dalam industri muzik tempatan. Penyanyi hebat akan tampil membawa lagu final Keynote 2010 adalah Hattan, Zainal Abidin, Misha Omar, Vince AF, Alyah, Noryn Aziz, One Nation Emcees, Soo Wincci dan Tam Spider.

Faan mempertaruhkan lagu Suntuk berkonsep rock balada dinyanyikan oleh Hattan. Noryn Aziz pula akan melontarkan vokal R&B dan jazz untuk lagu Pelukan Cinta ciptaan Rina. Bagi komposer Nero, lagu Maafkan bakal dibawakan Vince sementara Sedarkah Kau ciptaan Keroz dipersembahkan penyanyi bersuara lantang, Alyah. Untuk Khoo, dia memilih Tam Spider membawakan lagu rock, Bentes Dan Pulas. Dengan lagu bertajuk Teja Melepas Tuah, Nomad menyandarkan harapan kepada Misha Omar untuk menyanyikan karya balada itu. Nazrin pula adalah peserta tunggal menyanyikan lagunya sendiri, Sembilan.

Bagi persembahan berkumpulan, Nero & Nazrin menyandarkan harapan kepada Mari-Mari Honey yang akan dipersembahkan One Nation Emcees. Dengan konsep World Music, Zainal Abidin akan membawa lagu karya Nomad, Keroz bersama Faan bertajuk Opahku Bilang. Lagu Ikatan Harapan berkonsepkan balada ciptaan Rina & Khoo akan disampaikan penyanyi Mandarin, Soo Wincci.

Bercakap mengenai peluang komposer final, Vince berkata, dia suka dengan konsep serta idea diketengahkan komposer muda, Nero.

"Apa saya suka, membawakan lagu Maafkan pada final satu penghormatan. Bagi saya, sebagus mana pun lagu dicipta, masih perlu diperbaiki. Dalam masa ditetapkan, saya mahu mendapatkan 'feel' dan cara berkesan menyampaikannya.

"Bercakap mengenai 'chemistry', kami baru bertemu tetapi saya rasa mampu menghayatinya. Kami cuba memperbaiki mana perlu dan kita tunggu final bagaimana lagu dinilai orang ramai dan juri," katanya. Kata Faan, dia berbesar hati kerana Hattan menyanyikan lagunya, Suntuk.

"Cabaran menyiapkan lagu itu boleh tahan juga. Selepas menjelaskan melodi serta berbincang gaya blues rock dimahukan, akhirnya Hattan bersetuju. "Selain itu, ini peluang terbaik menentukan lagu siapa paling disukai pendengar. Secara keseluruhan, program banyak beri pendedahan baru dan paling penting, Hattan serta beberapa penyanyi berpengalaman lain banyak beri 'tip' memperbaiki sesebuah lagu," kata pelajar ijazah Muzik dari UiTM itu. Bagi Khoo, 19, dia berharap dapat menyerlah pada malam final itu.

"Sepanjang saingan empat minggu pertama, saya dapat menempatkan kedudukan dalam Top 3. Mencipta dua lagu lagu dalam tempoh 19 jam untuk final begitu mencabar.

"Kalau bergelar juara, saya mahu memajukan industri muzik di Sabah. Pengalaman berada program Keynote banyak memberi gambaran untuk mengenengahkan hasrat itu. "Buat masa ini, perkembangan muzik terbaru mengambil masa dua atau tiga bulan diketahui masyarakat di sana. Saya rasa ia bukan perkembangan bagus kalau kita mahu majukan industri seni suara dan gubahan lagu," ujarnya. Markah final adalah 50 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 50 peratus lagi menerusi penilaian juri iaitu tiga komposer berpengalaman, M Nasir, Ramli MS dan Aidit Alfian.


Oleh Esme Johari Wahab

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top