Dalam senarai panjang yang mencari ruang untuk ditabal sebagai Imam Muda, sudah tertulis rezeki Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan dan Hizbur Rahman Omar Zuhdi untuk berentap memenangi hati rakyat Malaysia dan juga juri setelah hampir tiga bulan mengharungi pelbagai cabaran yang bukan kecil.
Apa yang pastinya, ketika ini tentu ramai yang sudah mula berteka-teki siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara sulung Imam Muda dan sekali gus menerima biasiswa menjangkau RM100,000.
Biasiswa itu bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda atau doktor falsafah di salah sebuah universiti di Madinah.
Siapa pun pemenangnya, kelayakan memang sudah ada pada mereka.
Malah pengetuanya, Datuk Hassan Mahmood pernah memberitahu, 10 peserta yang terpilih menyertai Imam Muda sejak mula bersiaran berkelayakan bergelar imam.
Hanya yang tinggal ialah mengasah lagi pengetahuan serta kemampuan mereka dalam pelbagai aspek agama dan kehidupan.
Program yang bersiaran di Astro Oasis (saluran 106, Astro) pada setiap hari Jumaat pukul 9 malam itu diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Jika ditanya tentang persediaan melangkah ke gelanggang akhir itu, baik Ashraf mahupun Hizbur masing-masing mengakui, sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.
Hanya 40 peratus markah sahaja lagi yang perlu dicari oleh mereka, diuji dengan pelbagai soalan yang menguji minda daripada juri jemputan pada malam kemuncak itu nanti.
Sebanyak 30 peratus markah diberikan kepada ujian teori dan selebihnya, 30 peratus lagi diberikan kepada ujian praktikal.
Sungguhpun mencari 40 peratus markah sahaja lagi namun, apa yang membimbangkan kedua-dua Imam Muda ialah kali ini ialah berdepan dengan jumlah penonton yang ramai.
Persoalan yang timbul, bersediakah Ashraf dan Hizbur berhadapan dengan masyarakat, menghadapi tugas dan realiti kehidupan sebagai seorang imam?
Apa lagi dalam menangkis suara-suara nakal yang mempersoalkan tentang kriteria serta kelayakan peserta Imam Muda yang diangkat sebagai seorang imam unggul hanya dalam masa beberapa bulan.
Sebagai seorang yang berpengalaman menjadi imam, tentu sahaja itu bukan masalah besar bagi Ashraf.
Tetapi bagi Hizbur yang tiada pengalaman sebagai imam sebelum ini yakin pendedahan yang diperoleh dalam Imam Muda akan menjadi bekalan buatnya.
Dia menegaskan, penyertaannya dalam Imam Muda bukan untuk mengejar populariti seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Apa yang kami peroleh dalam Imam Muda biarpun bukan realiti cabaran sebenar yang dipikul oleh seorang imam namun, ia banyak membantu," kata Hizbur.
Memetik kata-kata Ashraf ketika mula-mula menjejakkan kaki ke gelanggang Imam Muda: "Rasullullah juga merupakan seorang yang popular. Namun, apakah rasul mencari populariti dengan hanya menyebarkan ajaran Islam?
"Tentu tidak. Populariti itu datang dengan sendiri sehingga baginda dikenali hingga kini oleh seluruh masyarakat dunia," katanya.
Mengangkat status imam dan memberi pendedahan kepada kerjaya imam di kalangan masyarakat bagi Ashraf bukan bermakna seseorang itu perlu dianggap sebagai ikon.
Sebaliknya, Ashraf berkata, Nabi Muhammad merupakan individu yang selayaknya dijadikan ikon kepada masyarakat.
"Imam Muda adalah untuk mengangkat status imam serta memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kerjaya imam," ujar Hizbur.
Sekilas mengenai ujian praktikal yang dilalui oleh mereka, Hizbur diberi kesempatan pulang ke kampung halamannya di Baling, Kedah selama empat hari tiga malam.
Begitu juga Ashraf yang dibenarkan pulang ke kampungnya di Sungai Gelugor, Pulau Pinang.
Sebetulnya, kepulangan mereka ke kampung halaman memerlukan mereka melaksanakan tugasan.
Pergaulan dengan masyarakat, menghadiri pelbagai majlis keagamaan dan keraian, membaca khutbah serta menjalani pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan masyarakat kampung dinilai sebagai ujian dan pemarkahan praktikal mereka.
Apa pula bentuk cabaran yang bakal dilalui oleh mereka pada gelanggang akhir Imam Muda, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan rancangan yang bakal bersiaran langsung menerusi saluran Oasis (saluran 106, Astro) malam ini.
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
0 ulasan:
Catat Ulasan