Program terbaru yang dikenali sebagai Mari Menari itu kini sedang mencari peserta berkelayakan untuk menyertai sebelum disiarkan pada Oktober nanti. Uji bakat mencari calon peserta program Mari Menari akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Kompleks Penyiaran Astro di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Walaupun bukan lagi pasangan suami isteri seperti format rancangan Sehati Berdansa, tetapi Mari Menari tetap mencari pasangan muhrim. Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, berkata idea menerbitkan program ini datang daripada penonton sendiri yang tertarik untuk menyertai Sehati Berdansa.
Berikutan daripada maklum balas penonton, Astro Ria kemudian tampil dengan program baru untuk membuka peluang kepada pelanggan mereka pula.
Mereka berminat menyertai uji bakat program ini perlulah berusia lebih 18 tahun serta mempunyai pertalian darah antara satu sama lain untuk melayakkan diri menyertai pertandingan ini.
Calon yang hadir untuk sesi uji bakat perlu membuat persediaan seperti pakaian yang sesuai untuk menari. Calon yang berminat tidak semestinya ada kelayakan atau pengalaman dalam bidang tarian, tetapi mempunyai minat mendalam dalam bidang seni tari.
Kalau ada pengalaman menari, kita hanya benarkan seorang saja mengambil bahagian. Selain itu, pengalaman dalam bidang tarian haruslah tidak melebihi dua tahun, katanya pada sidang media mengumumkan kehadiran program baru di Astro Ria itu.
Walaupun tidak mengumumkan konsep program itu pada sesi sidang media, Azlin memberi bayangan Mari Menari bakal mengetengahkan konsep serupa dengan Sehati Berdansa. Seramai 30 peserta terbaik akan disaring sehingga menjadi 12 peserta. Mereka kemudiannya akan diberikan seorang jurutari bagi melatih tarian mereka.
Pada sidang media itu, Azlin turut menepis dakwaan Sehati Berdansa dihentikan berikutan episod cerai yang menghantui pesertanya. Katanya, perceraian yang berlaku kepada enam pasangan pesertanya iaitu Radhi, Dira Abu Zahar, Atilia, Asheed, Sabrina dan Anne Ngasri hanyalah kebetulan dan ketentuan takdir.
Justeru, tidak wajar program itu dipersalahkan serta dituduh menjadi punca kepada keretakan rumah tangga selebriti yang terbabit.
0 ulasan:
Catat Ulasan