Ia juga turut mendapat perhatian media antarabangsa apabila akhbar The Straits Times, Singapura melaporkan mengenai perkembangan program itu menerusi laman webnya.
Sejak artikel bertarikh 7 Jun itu disiarkan dengan judul Imam Search On TV (Pencarian Imam di TV), program berkenaan semakin menjadi perhatian. Astro umpamanya menerima banyak panggilan serta emel daripada pengamal media antarabangsa yang menyatakan minat mereka untuk membuat liputan mengenai program itu.
Baru-baru ini rakaman bagi episod keempat program Imam Muda di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur menerima kunjungan daripada dua media antarabangsa iaitu Associated Press (AP) dan The Wall Street Journal. Selain itu, Perbadanan Penyiaran British (BBC) juga turut menyatakan minat untuk mengikuti rakaman program berkenaan.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata mereka tidak menyangka Imam Muda mendapat perhatian seperti ini dan sebagai pencetus idea program itu, beliau bangga kerana media Barat menunjukkan minat terhadap program itu.
“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran mereka yang mahu menyaksikan sendiri bagaimana program ini dilaksanakan. Sewaktu Oasis bersama-sama JAWI tampil dengan idea untuk program ini dulu, kami langsung tidak menyangka ia mendapat impak sebegini.
“Kami di Oasis amat terkejut apabila dimaklumkan daripada bahagian perhubungan awam kami, mereka menerima banyak panggilan telefon serta kiriman emel daripada pengamal media antarabangsa yang menyatakan minat untuk hadir membuat liputan mengenai Imam Muda. Ini adalah perkembangan yang baik kerana program berunsurkan keislaman berjaya menarik minat orang bukan Islam,” katanya.
Tugasan memandikan dua mayat yang sudah reput dalam episod menjadi episod paling diminati dua wakil media yang hadir membuat rakaman pencarian Imam Muda.
Sean Yoong dari Associated Press dan James Hookway mewakili The Wall Street Journal sependapat amat mengagumi episod berkenaan.
“Sebaik ditugaskan membuat liputan mengenai program ini, saya membuat kajian mengenai program ini dengan menontonnya menerusi laman Youtube. Saya amat kagum apabila melihat peserta perlu menjalani tugas memandikan mayat yang reput dan berbau busuk. Bagi saya tugasan itu amat sukar.
“Saya melihat program ini amat berbeza dengan program realiti seperti Survivor dan American Idol. Mereka tidak memburuk-burukkan peserta lain atau berlumba untuk menang, sebaliknya hubungan setiap peserta amat akrab. Mereka cukup ikhlas dalam persahabatan.
“Saya yakin program ini mampu menarik pembaca dari luar negara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini. Pembaca media di Barat yang ingin mengetahui apa itu Islam, boleh mendapatkan maklumat dengan menonton program ini,” kata Sean yang turut menggemari episod kedua dan ketiga yang memaparkan mengenai wanita yang terlanjur serta anak-anak HIV.
Sama seperti Sean, Hookway yang datang dari Bangkok mengagumi Astro Oasis kerana berjaya menghasilkan program seperti itu.
“Meletakkan peserta muda di dalam situasi yang pelik iaitu terpaksa memandikan mayat yang sudah reput begitu mengagumkan bagi saya. Tugasan itu cukup berat bagi saya tetapi berjaya disempurnakan dengan baik oleh peserta program ini.
“Secara tidak langsung program ini sebenarnya membantu orang luar memahami mengenai budaya rakyat Malaysia. Banyak yang saya pelajari melalui program ini setelah mengikuti episod pertama hingga ketiga melalui Youtube,” kata Hookway.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
0 ulasan:
Catat Ulasan