Jika sebelum ini antara tugasan yang berjaya mereka tempuhi termasuklah menguruskan jenazah, operasi ke rumah pelacuran dan juga melakukan penyembelihan, minggu ini kemampuan mereka teruji lagi.
Tugasan yang diberikan kali ini ialah memberi kaunseling dan nasihat kepada pasangan suami isteri yang memohon untuk bercerai di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).
Ketika sesi tersebut, pelbagai keluhan dan luahan dinyatakan oleh pasangan suami isteri yang terlibat sehingga memaksa mereka membuat permohonan perceraian.
Apa yang dipertanggungjawabkan kepada calon-calon Imam Muda, selain mendengar dengan teliti permasalahan yang berbangkit mereka sebaik mungkin cuba memberi pandangan serta panduan agar hubungan suami isteri tersebut dapat diselamatkan.
Antara masalah yang dibangkitkan oleh pasangan-pasangan yang hadir sepanjang sesi tersebut ialah isteri main kayu tiga dan suami anak emak.
Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh pasangan-pasangan yang hadir termasuklah gelisah, marah serta ada juga yang menitiskan air mata.
Disinilah kemampuan serta kebijaksanaan calon-calon Imam Muda diteliti dan dinilai bagi memenuhi markah mingguan mereka.
Apakah nasihat yang diberikan oleh Imam Muda dalam membantu menyelesaikan permasalahan pasangan yang hadir?
Bagaimanakah pula reaksi para calon Imam Muda dalam berinteraksi serta mengatasi suasana tegang yang berlaku sekitar sesi kaunseling?
Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan Imam Muda yang bersiaran pada malam ini (Jumaat) pukul 9 malam menerusi saluran Oasis (saluran 106, Astro).
Setakat ini, calon-calon yang berjaya mengekalkan diri dalam rancangan tersebut ialah Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, dan Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 26.
Empat lagi peserta ialah Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, Nuri Ali Arbain, 25, dan Mohd. Taufek Mohd. Noh, 27.
Bercerita tentang tugasan pada minggu ini, pengetuanya, Datuk Hassan Mahmood berkata, tugasan mencabar yang diberikan kepada Imam Muda kali ini sebagai latihan memenuhi kriteria figura imam unggul yang dicari.
“Sebelum menjalani sesi kaunseling, para calon diberi penerangan tentang cara-cara berinteraksi serta mengawal pelbagai situasi yang berkemungkinan berlaku ketika sesi kaunseling.
“Malah, sehari sebelum memulakan kaunseling, kesemua peserta diberi pendedahan dan melihat sendiri bagaimana pasangan yang memohon perceraian dibicarakan di mahkamah,” katanya.
Penilaian yang diberikan, kata Hassan, hampir kesemua peserta berjaya menjalani sesi kaunseling dengan baik termasuklah mengatasi suasana tegang yang berlaku di antara pasangan yang hadir.
“Biarpun pada peringkat awal rata-rata Imam Muda kelihatan kelam kabut apabila pasangan yang hadir mula mula berbalah tentang masalah mereka, namun akhirnya mereka menurut panduan serta nasihat yang diberikan oleh Imam Muda.
“Nasihat-nasihat yang diberikan oleh mereka juga memang masuk akal dan di bawah pengawasan pihak jabatan agama,” kata Hassan lagi.
Pada minggu ini, Mohd. Taufek dipertanggungjawabkan menyampaikan kuthbah di Masjid Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Dari segi markah keseluruhan, Hassan merumuskan, berlaku banyak perubahan kedudukan di antara peserta Imam Muda minggu ini.
Ini jelasnya, disebabkan ujian teori yang dijalani oleh para peserta.
Berbeza dengan minggu-minggu sebelum ini, kali ini pengetahuan bahasa Inggeris serta bahasa Arab mereka diuji dan setiap satunya diberi pemarkahan sebanyak 25 peratus.
“Kebanyakan mereka memperoleh markah yang rendah disebabkan ujian teori.
“Bahasa Inggeris yang digunakan juga adalah tinggi dan mungkin disebabkan itu mereka agak sukar memahami dan memperoleh markah yang lebih tinggi.
“Apa yang membantu markah mereka minggu ini ialah peratusan bagi soalan-soalan berbahasa Arab,” ujar beliau lagi.
Mungkinkah ada peserta yang bakal disingkirkan pada minggu ini dan berjayakah calon pilihan anda mengekalkan diri ke peringkat seterusnya?
Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan Imam Muda pada pukul 9 malam ini di saluran Oasis (saluran 106, Astro).
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
0 ulasan:
Catat Ulasan