Benar kata orang, program realiti mampu memberi impak besar. Akademi Fantasia (AF) umpamanya berjaya mengubah hidup seseorang itu melangkaui daripada apa yang pernah mereka fikirkan. Malah tidak mustahil juga, ada perubahan yang makin meletakkan seseorang itu menjunam ke bawah.


Hakikatnya, wajah dan personaliti itu penting dalam memancing selera penonton dan menarik perhatian peminat untuk terus setia menyokong kerjaya hingga ke puncak.

Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), peserta AF musim kelapan, terlepas daripada teka-teki sama ada terus meningkat popular mahupun merudum jatuh. Tuah badan kerana AF memberi perubahan yang nyata lebih selesa.

"Alhamdulillah hidup saya berubah dan bertambah baik. Sekarang saya mengusung status selebriti dan sekelip mata, dunia hiburan sudah saya langkah. Tidak dinafikan rasa kejutan itu memang ada, namun tidak pula saya terlalu taksub mengikut alirannya, terutama ke lembah yang boleh menjerat diri.

"Jika dulu saya hanya remaja biasa, lepak bersama teman dan menjalani pelbagai aktiviti harian dengan bebas. Namun sekarang saya terikat dengan pelbagai kerja.

"Ada kalanya, saya sukar mempercayai apa yang tersurat kini. Setiap hari, ada saja agenda diatur. Sama ada saya perlu menghadiri majlis rasmi, jemputan nyanyian mahupun sesi fotografi. Semuanya berubah dan saya tidak lagi Iwan yang dulu.

"Bagaimanapun, paksi saya hanya satu sejak dari awal lagi. Jika benar rezeki saya di sini, pasti impian untuk membantu keluarga dan meningkatkan kemajuan diri sendiri. Mungkin ini hadiah atas usaha saya selama ini dan tidak mustahil juga, doa saya untuk menjadi penyanyi terjawab.

"Yang penting, saya perlu kekal dengan pendirian dan nasihat keluarga untuk menjaga disiplin dan nama baik sendiri," katanya.

Belum sempat mencongak masa depan sebagai penyanyi dan masih janggal lagi lagu sulungnya, VIP kedengaran, jejaka kelahiran Seremban ini ditawar pula peluang berlakon dalam siri Kau & Aku untuk musim terbarunya.

"Jujurnya, saya tidak pernah menonton drama ini sebelum ini memandangkan saya bekerja di butik dan selalunya pulang lewat. Namun apabila tawaran ini sampai pada saya dan puas meneliti sinopsis serta skripnya, saya terpanggil untuk mencuba dan mungkin peluang ini boleh menguatkan lagi jalur kerjaya seni saya.

"Watak saya kekal Iwan dan karakter yang digarap juga tidak lari jauh daripada perwatakan sendiri. Justeru, saya tidak banyak masalah untuk melakonkan watak ini, cuma sebagai orang baru dan pertama kali beraksi sebagai pelakon, saya perlu banyak belajar.

"Sepanjang bulan puasa lalu, saya sibuk ke kelas lakonan yang disediakan serta menyelesaikan rakaman lagu-lagu yang saya nyanyikan menerusi Kau & Aku.

"Saya melihat peluang berlakon ini adalah lubuk berharga kerana drama ini adalah karya baik dan popular. Setidak-tidaknya peminat dapat menyaksikan hasil kerja saya.

"Kau & Aku adalah drama muzikal yang masih menuntut untuk saya menyanyi dan menari," katanya yang bakal bergandingan dengan Aril, Akim, Farish, Raja Farah dan bintang One In A Million, Anith.

Menyentuh Aidilfitri pertamanya sebagai selebriti, anak kedua daripada empat beradik ini menyambutnya bersama keluarga dan teman di Seremban. Berbanding tahun lalu, anak muda yang murah senyuman ini bersiap sedia menyediakan duit raya kepada peminat dan saudara yang datang berkunjung.

"Biasalah, tahun ini saya bekerja tetap dan rezeki pun lebih. Justeru, persediaan raya lebih besar dan saya perlu menyediakan duit raya, kuih-muih serta pakaian baru buat keluarga.

"Kami memang selalu beraya sekeluarga di Seremban dan kemudian pulang ke rumah nenek di Sungai Besar, Selangor.

"Kepada peminat yang ingin datang berkunjung, saya jemput beramai-ramai dan tidak perlu tunggu hingga ada rumah terbuka," katanya yang bakal memulakan penggambaran Kau & Aku pada penghujung tahun ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top