SELAKU penerbit rancangan realiti TV mencari pelakon, Pilih Kasih musim kedua, Rosyam Nor yakin dengan bakat para pesertanya.
Malah, penerbit Suhan Movies & Trading ini juga menjangkakan Pilih Kasih musim terbaru itu akan lebih meriah berbanding tahun lalu.
Ia kata Rosyam berdasarkan sambutan para peserta yang menjalani sesi-sesi uji bakat dan bilangan mereka yang mengikutinya.
"Tahun ini lebih 1,000 peserta hadir menjalani sesi-sesi uji bakat yang kami adakan di beberapa lokasi seperti Shah Alam dan Kuala Lumpur.
"Tahun lepas jumlahnya tidak seramai ini. Biarpun uji bakat dimulakan pukul 10 pagi tetapi seawal pukul 8 pagi lagi para peserta telah hadir.
"Ramai peserta yang datang dari jauh termasuklah Kota Bharu, Kelantan semata-mata kerana mahu mengikuti uji bakat ini.
"Sebab itu, saya berpendapat sambutan musim ini lebih meriah berbanding sebelumnya," katanya kepada Mega sewaktu ditemui baru-baru ini.
Daripada lebih 1,000 peserta yang menyertai uji bakat, hampir 100 daripadanya telah disenarai pendek untuk diketengahkan dalam program itu.
Rosyam yakin sambutan itu secara tidak langsung menggambarkan semangat para peserta bagi menonjolkan bakat lakonan mereka.
Ini kerana, katanya, sesi-sesi uji bakat Pilih Kasih tidak diadakan di tempat tertutup, sebaliknya ia diadakan di tempat terbuka.
"Bagi saya ini adalah cabaran buat para peserta. Bukannya mudah untuk tampil berlakon di hadapan khalayak kerana mereka masih baru.
"Sedangkan orang yang berpengalaman pun gugup berlakon secara langsung depan khalayak, inikan pula para peserta yang amatur.
"Secara tidak langsung, ini adalah cabaran awal mereka untuk berdepan dengan tekanan sebenar apabila bergelar pelakon kelak," jelasnya.
Sebagai perintis rancangan realiti TV mencungkil bakat pelakon tempatan, Rosyam optimis ia mampu melahirkan ramai pelakon baru.
Apatah lagi jelasnya, bidang lakonan mampu memberi pendapatan lumayan dan lebih lama jangka hayatnya berbanding nyanyian.
"Ramai penyanyi yang tidak mampu bertahan lama kerana faktor usia dan fizikal. Sedangkan pelakon semakin lama semakin menyerlah lakonannya.
"Lagi lama berlakon lagi banyak pengalamanya dan boleh melakonkan pelbagai watak. Mereka tidak tenggelam dimakan usia.
"Sebab itu, ada penyanyi dari rancangan realiti TV nyanyian bergelar pelakon selepas mereka tidak menyerlah sebagai penyanyi," ujarnya.
Para peserta Pilih Kasih 2 akan mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar seperti Datuk Rahim Razali, Erma Fatima dan Fatimah Abu Bakar.
Pada setiap sesi uji bakat yang diadakan, dua pengkritik akan dijemput termasuklah pengarah, Aziz M. Osman dan pelakon Lisdawati.
Mereka setakat mengadili para peserta yang hadir pada sesi uji bakat tetapi juga mengkritik serta memilih peserta yang layak menyertai Pilih Kasih.
"Bukan setakat tenaga pengajar dan pengkritik pada sesi uji bakat, malah kami juga menyediakan Juri Tetap dalam rancangan ini.
"Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Fauziah Nawi merupakan Juri Tetap Pilih Kasih 2 dan setiap peserta akan melalui semua proses itu.
"Mereka (para peserta) mendapat kritikan dan bimbingan sejak dari proses uji bakat sehinggalah terbabit dalam rancangan ini.
"Semuanya bagi memastikan rancangan ini boleh melahirkan pelakon pelapis yang benar-benar berbakat dalam bidang ini," pintanya.
Siri Pilih Kasih musim kedua akan bermula di TV2 mulai 11 Disember ini pukul 8.30 malam dan ia disiarkan secara langsung selama dua jam.
0 ulasan:
Catat Ulasan