Sepanjang pertandingan Raja Lawak musim keempat (RL4) berlangsung tahun lalu, rancangan realiti televisyen (TV) terbitan Astro Prima itu sentiasa mencuit hati para penonton.



Gelagat para peserta dan juga pengacaranya, Johan dan Zizan yang sentiasa tampil dengan gaya lawak spontan menyebabkan program realiti TV itu semakin diminati ramai peminat.

Dalam gelak tawa itu, dua pengacara terbabit juga sering terlepas cakap pada siaran langsung persembahan mingguan RL sehingga ia mencetuskan kontroversi.

Baik Zizan mahupun Johan, mereka belajar daripada pengalaman itu bagi memastikan Raja Lawak musim kelima yang akan bersiaran hujung tahun ini tiada kontroversi.

Menurut Johan, idea-idea spontan yang terpacul daripada mulutnya dan Zizan adakalanya disalahtafsir oleh para penonton sehingga mencetuskan persepsi kurang enak terhadap mereka.

"Saya misalnya pernah tersebut perkataan 'hayalassolah' atau mengerjakan solat. Saya bukan berniat mempersenda-senda ayat seperti itu tetapi ia ada kaitan dengan topik ketika itu.

"Ada juga yang kata saya macam mempersenda-sendakan orang Cina apabila bercakap pelat Cina sewaktu mengacarakan Raja Lawak. Sedangkan saya sendiri berketurunan Cina.

"Saya berdarah kacukan. Bapa saya Melayu dan ibu saya, Norhayati Lim Abdullah pula Cina. Ramai yang panggil saya dengan nama Acai. Jadi tiada sebab untuk saya berniat sedemikian," katanya.

Johan, 26, tidak menafikan lawak spontan yang diserlahkan di pentas mudah mengundang insiden-insiden seperti itu.

Justeru, pelawak, pengacara dan pelakon ini berjanji akan lebih berhati-hati apabila berlawak di atas pentas terutamanya ketika mengacarakan siaran langsung RL5 kelak.

"Biasanya, sebelum rakaman atau siaran langsung Raja Lawak saya dan Zizan akan berlatih terlebih dulu. Kami juga akan berbincang tentang bahan dialog lawak yang akan kami sampaikan.

"Kadangkala idea datang spontan di atas pentas. Itu yang terkeluar macam-macam jenis lawak. Apa pun saya dan Zizan semakin matang dan boleh mengawal diri semasa berlawak.

"Semua itu boleh membantu kami berfikir, mengawal perasaan dan paling penting kalau boleh kami pun tidak mahulah timbul sebarang kontroversi," ujarnya.

Sebagai pelawak generasi baru, nama Johan semakin popular hingga menenggelamkan nama sebenarnya Mohamad Yazid Lian Mohd. Aziz.

Menyentuh mengenai nama tersebut, Johan yang pernah menjual otak-otak sebelum dikenali selepas menyertai Raja Lawak musim pertama berkata;

"Saya sudah guna nama ini sejak dulu lagi iaitu sebelum menjadi artis.

"Saya gunakan nama ini sebagai nama pentasnya kerana yakin ia mempunyai kekuatan tersendiri selain mudah disebut dan mempunyai nilai-nilai komersial."

Sementara itu, Zizan yang digandingkan dengan Johan sebagai pengacara RL5 turut sependapat dengan rakannya itu yang mahu membina persepsi lebih positif dalam program tersebut.

Jelasnya, selepas hampir tiga tahun bergelar artis dia semakin yakin dan bersemangat dalam meneruskan kesinambungan kariernya sebagai pelawak, pengacara dan pelakon.

Namun, bagi memastikan bakat dan kredibilitinya semakin berkembang, Zizan, 26, atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Ab. Razak berkata, dia tidak mahu sekadar tampil dengan lawak bodoh.

"Kalau boleh lawak saya biarlah menggambarkan kematangan dan pengalaman saya dalam bidang ini. Sebab itu, saya yakin salah satu caranya ialah dengan menambahkan ilmu pengetahuan.

"Misalnya, dengan mengambil tahu isu-isu semasa yang berlaku supaya ia dapat menambahkan idea saya untuk berlawak. Saya akui pelawak juga kena tahu banyak pengetahuan am.

"Semua itu diharap dapat membantu saya mengendalikan Raja Lawak dan menambahkan lagi bilangan penontonnya," ujarnya.

Selain mempunyai inisiatif dan keyakinan, Zizan juga menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap rancangan yang akan diacarakannya itu nanti.

"Untuk tahun ini, saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada RL5 dan tidak mahu menerima apa juga tawaran berlakon.

"Saya tidak mahu lagi buat dua kerja dalam satu waktu. Saya takut hilang fokus.

"Tahun lalu, semasa mengacarakan Raja Lawak musim keempat saya juga sibuk menjalani penggambaran filem Kapoww. Jadi kosentrasi itu kurang sedikit, " jelasnya.

Ketika ditanya komennya apabila terus digandingkan dengan Johan, Zizan berkata; pasangannya itu paling serasi sama ada di dalam atau luar rancangan yang diacarakannya.

Dia juga mendapat maklum balas positif daripada para penonton Raja Lawak yang mahukan agar gandingannya bersama Johan diterus pada masa akan datang.

"Setakat ini Johan paling serasi berlawak dengan saya di atas pentas atau mengacarakan Raja Lawak. Saya belum jumpa lagi pelawak lain yang boleh begitu serasi selain Johan.

"Kadangkala sewaktu mengacarakan Raja Lawak kami saling tidak boleh menahan gelak sampaikan saya selalu terpaksa buat 'muka ketat' (menahan) kerana gelagatnya itu.

"Malah, kami juga mempunyai gaya dan rentak tersendiri kerana sudah faham dan tahu dialog atau topik apa yang hendak disampaikan," katanya.

3 ulasan:

  1. gambar zizan ceut macam aril tetapi zizan pun ceut sangat2x...

    BalasPadam
  2. Thank you for the goοd writeup. It if tгuth be told wаs a entertainment account it.
    Glance complех to far delivered agгeeable from
    you! By the way, how сοuld we be in contасt?


    Visit my web pagе - v2 cigs coupon
    My web-site ... v2 cigs coupon code

    BalasPadam
  3. I blog quіte often and I гeally thanκ you for youг content.

    The article has really peaκed my interest.

    I am going to taκе a note of your
    wеbsite аnԁ keep checking for new information about once а
    week. Ι subscribеd tο your RSЅ feeԁ аs well.
    Review my web blog :: http://www.marsvenusatwork.com/

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top