Dia sendiri tidak merasakan sebarang keistimewaan pada lagu itu, tambahan pula Inikah Cinta adalah pertaruhan sulungnya. Bagi pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini, lagu itu tidaklah begitu istimewa, cuma ia karya yang ceria sesuai ditujukan pada kekasih, sahabat mahupun keluarga.
"Saya mencipta lagu itu ketika duduk seorang diri dan berimaginasi dalam hidup ini apakah perkara utama yang kita cari dan mahukan dalam kehidupan. Sudah semestinya sebuah kehidupan yang bahagia dan menggembirakan, maka begitulah ia tercipta.
"Menjangkakan Inikah Cinta menjadi lagu hit memang tiada langsung dalam perancangan saya, sebaliknya sekadar mahu peminat dan pendengar terhibur.
"Justeru, apabila Astro dan Walls mengusulkan idea untuk memperbesarkan lirik lagu ini kepada sebuah drama selepas tertarik dengan jalan cerita Inikah Cinta seperti dipaparkan dalam klip video, saya memang terkejut kerana tidak pernah terfikir ia akan menjadi sehebat ini," katanya.
Drama mini bersiri ini diterbitkan sebanyak 16 episod dan akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) setiap Sabtu dan Ahad, jam 8.55 malam bermula 9 Oktober ini. Ia menzahirkan rasa dan pengalaman cinta yang selari dengan bait-bait lirik yang tertera di dalamnya.
Berdurasi lima minit, Akim akan bergandingan dengan pengacara dan pelakon
remaja jelita, Juliana Evans bersama ramai lagi pendatang baru. Bagi Akim, peluang bergandingan dengan Juliana bagaikan mimpi jadi kenyataan kerana sudah lama meminati Juliana sejak di bangku sekolah lagi.
"Masa kecil-kecil dulu, saya sering menonton program kanak-kanak yang dikendalikan Juliana dan apabila sudah besar, perasaan minat itu masih ada.
"Memang saya tidak sangka Inikah Cinta akan mempertemukan kami bukan saja pertama kali berlakon bersama tetapi menjadi pasangan kekasih dalam drama ini.
"Sangat senang bekerjasama dengannya. Walaupun pada mulanya dia nampak pendiam tapi dia sebenarnya gila-gila juga sama seperti saya. Jadi, kami tidak berhadapan dengan sebarang masalah dan sangat 'enjoy' sepanjang penggambaran," katanya.
Ditanya, apakah perasaan cinta di antara mereka terbawa-bawa sehingga di luar penggambaran, Akim menafikan hal berkenaan dan tegas bahawa cinta mereka hanya di layar skrin saja.
Juliana pula menambah, dia tertarik untuk menerima tawaran itu kerana jatuh cinta pada jalan cerita drama berkenaan.
"Sewaktu membaca skrip, saya terbayang kalaulah jalan cerita ini dapat dilaksanakan pelakon dengan baik dan penuh penghayatan, rasa cinta itu pasti dapat dirasai penonton.
"Apabila hari pertama di set penggambaran, saya jadi cepat selesa Akim sebagai pasangan saya kerana dia sering mengajak saya berbual sehingga hilang rasa janggal.
"Saya seronok menjalani penggambaran drama ini kerana sejak dulu memang sentiasa ingin bekerja di bawah produksi Red Communications Sdn Bhd," kata Juliana yang sudah berkecimpung dalam bidang seni iaitu modelling sejak kecil.
Sementara itu, Pengurus Saluran Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pihaknya yakin pertaruhan untuk menggunakan tajuk lagu sebagai sebuah drama mini bersiri akan dapat menarik perhatian ramai peminat terutama peminat Akim kerana pengaruhnya yang kuat serta tayangan klip video yang kerap kali dimainkan.
Katanya, durasi drama itu terlalu pendek kerana pendekatan ini dirasakan sebagai satu percubaan. Durasi yang pendek itu sebenarnya bersesuaian dengan jalan cerita yang dipaparkan.
"Mungkin dengan sambutan hangat diberikan, Astro boleh memanjangkan ia kepada drama atau telefilem. Untuk episod terakhir nanti, kami merancang menayangkan semula semua episod yang sudah disiarkan," katanya.
Sinopsis naskhah ini menceritakan Akim, pelajar kolej tahun akhir yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik bersama rakan-rakan bandnya, bercita-cita untuk menjadi penyanyi satu masa nanti.
Juliana pula seorang gadis yang baru saja berdepan dengan pengalaman pahit dalam percintaan membuatkannya hilang kepercayaan terhadap lelaki. Kedua-duanya mempunyai latar belakang berbeza.
Hanya satu persamaan yang mereka kongsi bersama iaitu kedua-duanya menggemari aiskrim Wall's Cornetto. Satu hari, mereka berdua bertemu dalam keadaan yang tidak dijangka, seterusnya mengundang beberapa insiden yang membuatkan mereka bertelagah setiap kali bersua muka.
Namun, selepas melalui beberapa detik pertemuan, perasaan cinta mula berputik dalam hati mereka. Adakah mereka akhirnya berjaya disatukan dan menghadapi setiap cabaran yang mendatang?
Peminat juga berpeluang menyertai peraduan Cornetto Show Your Love yang bakal dilangsungkan dari 1 Oktober sehingga 31 Disember ini. Kumpulkan sebanyak mungkin penutup aiskrim Cornetto dan calon yang mengirimkan koleksi paling banyak akan dipilih sebagai pemenang.
Hadiah seperti Ipad, Astro Beyond berserta pakej langganan saluran HD selama setahun, Ipod Touch 8Gb, T-shirt kekasih dan pelbagai lagi hadiah menarik menanti pemenang setiap bulan.
Peserta digalakkan melayari www.facebook.com/iluvcornetto untuk maklumat lanjut.
0 ulasan:
Catat Ulasan