Menyedari bakat sebagai penghibur perlu digilap dan dicungkil sedari usia muda, Astro menerusi saluan Ceria (saluran 611, Astro) tidak lama lagi bakal muncul dengan sebuah program baru, Kamilah Bintang.



Dalam usaha mencari bakat cilik dalam lingkungan usia antara 10 hingga 14 tahun, uji bakat telah dijalankan di beberapa lokasi tanah air termasuk Johor Bahru (2 dan 3 Oktober), Kuantan (9 dan 10 Oktober) dan baru-baru ini berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Kamilah Bintang bakal memulakan siarannya di saluran tersebut pada 21 November ini.

Apa yang nyata, program baru yang julung kali diperkenalkan ke kaca televisyen itu menggamit tumpuan ribuan kanak-kanak yang ingin mencuba nasib.

Bagaikan mengunjungi sesi uji bakat program realiti popular, Akademi Fantasia, ketika sesi uji bakat berlangsung, bukan hanya peserta yang hadir mencuba nasib bahkan ruang legar Hotel Quality, Shah Alam, Selangor minggu lalu dipenuhi oleh ibu bapa yang turut menemani anak-anak mereka.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh ketika ditemui pada sesi uji bakat itu memberitahu, program tersebut diusahakan bukan sahaja mencari juara malah, sebagai platform kepada peserta mengembangkan bakat nyanyian mereka.

"Sebagai sebuah saluran yang cukup sinonim dengan kanak-kanak, Ceria cukup jelas tentang kanak-kanak yang juga berhak menikmati hiburan yang bersesuaian dengan usia dan kecenderungan mereka.

"Jadi, Kamilah Bintang merupakan platform yang saya rasa terbaik untuk mereka kembangkan bakat yang ada," katanya.

Saluran yang menyajikan rancangan kegemaran kanak-kanak seperti Tom Tom Bak, Geng Bas Sekolah, Gerak Geri Gasing dan Hikayat Putera Shazlan yang dilancarkan pada penghujung Ogos 2006 itu selain memberi pengisian akademik kepada golongan sasaran turut mengimbangi dengan rancangan berbentuk hiburan pula.

Malah kata Evon, menariknya tentang Kamilah Bintang, selain ganjaran kepada sang juara, mereka yang berjaya memberikan persembahan dan nyanyian terbaik saban minggu bakal membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 kepada sekolah mereka.

Hal ini secara tidak langsung mewujudkan persaingan sihat di kalangan para peserta program tersebut serta meningkatkan lagi motivasi mereka melakukan yang terbaik saban minggu.

"Ini merupakan satu-satunya program realiti di negara ini yang tidak menyingkirkan pesertanya.

"Malah, juaranya pula bakal ditentukan menerusi markah terkumpul sepanjang enam konsert termasuk konsert kemuncak," kata Evon lagi.

Menambah lagi tarikan program tersebut, seramai lima artis terkenal negara bakal terlibat sebagai pembimbing peserta rancangan itu.

Artis-artis yang terlibat bakal diumumkan pada sidang media yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Jelas Evon, penglibatan artis terkenal dalam program itu bukan hanya sebagai tarikan malah, memberi peluang kepada peserta rancangan itu berguru tentang ilmu nyanyian, persembahan serta memperoleh panduan bagaimana berhadapan penonton di atas pentas.

"Berdasarkan maklum balas daripada segmen Ada Bakat dalam rancangan Tom Tom Bak, sambutan yang diterima sangat luar biasa.

"Malah, berdasarkan penelitian yang dibuat daripada perkembangan tersebut, kami merasakan mengapa tidak kami menyediakan sebuah program khas untuk mencari penyanyi di kalangan kanak-kanak.

"Menyaksikan kanak-kanak mengembangkan bakat dan belajar membina keyakinan diri, program Kamilah Bintang merupakan satu proses pembelajaran tambahan diluar bilik darjah.

"Sokongan yang diberikan oleh ibu bapa dan keluarga terhadap minat kanak-kanak pula menjadikan kanak-kanak tersebut merasakan lebih dihargai dan disayangi," kata Evon mengakhiri perbualan.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

3 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top