Ketika dia menyertai pertandingan yang dicetuskan ideanya oleh stesen televisyen 8TV itu, umurnya masih mentah, 16 tahun.
Namun, atas semangat kecintaan dan minatnya terhadap dunia seni, pengorbanannya cukup besar demi memastikan impiannya untuk bergelar penyanyi tercapai.
Perlahan-lahan Muhammad Alif Mohd. Satar atau kini lebih dikenali sebagai Alif Satar membina namanya sehingga menjadi kegilaan kanak-kanak dan remaja hari ini.
Di sebalik nikmat populariti yang dikecapinya hari ini, anak muda yang gemar membahasakan dirinya sebagai Alif ini tidak pernah lupa akan kepayahan yang ditempuhinya sepanjang empat tahun lalu.
"Ketika keluar OIAM, saya dapat melihat kerjaya saya ketika itu agak cerah kerana sudah mula dikenali dan menjadi perhatian. Malah, sempat juga saya mengikat kontrak dengan sebuah syarikat rakaman tempatan.
"Sangka saya, kerjaya saya akan menjadi mudah selepas itu. Tetapi, entah bagaimana, percaturan yang dilakukan itu tidak menjadi dan ia hampir menenggelamkan nama saya.
"Jujurnya, saya memang cukup bimbang ketika itu kerana saya memang benar-benar mahu berada dalam industri untuk berkongsi bakat saya dengan masyarakat.
"Mujurlah dengan bantuan keluarga dan pengurus, Meor Shariman, saya kembali bangkit dan sudah berada di landasan yang betul," katanya dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di pejabat Sony Music Entertainment di ibu negara, minggu lalu.
Atas alasan itu jugalah, Alif yang berusia 20 tahun itu mengambil keputusan untuk menjenamakan semula dirinya sebagai Alif Satar.
Ternyata, semua yang dilakukannya itu membuahkan hasil dan namanya mula melonjak selepas single pertamanya, Jangan Nakal begitu kerap diputarkan di corong radio.
"Saya mula dikenali sebagai Alif OIAM dan kemudiannya sebagai Alif Remaja kerana saya pernah mengacarakan rancangan terbitan TV3 itu.
"Pada masa yang sama juga, saya tak sangka ada ramai juga penyanyi bernama Alif di negara ini termasuklah Alif Azfar yang turut sama bertanding dalam OIAM bersama-sama saya.
"Tetapi, paling ketara apabila orang membandingkan saya dengan Aliff Aziz. Penat juga saya dibuatnya untuk menerangkan kepada mereka bahawa saya bukan penyanyi lagu Sayang Sayang itu," katanya sambil ketawa.
Bangga dengan Faizal Tahir
Sempat juga Alif ditebak dengan soalan tidakkah dia berasa cemburu dengan kejayaan luar biasa yang dikecapi Faizal Tahir yang juga lahir dari platform yang sama dengan Alif.
Sedangkan, Faizal hanya sekadar bergelar naib juara pertandingan itu tetapi populariti dan kejayaannya berjaya mengatasi juaranya, Suki.
Tanpa berselindung, Alif tidak sedikit pun berasa cemburu mahupun iri hati sebaliknya sama-sama tumpang gembira dengan kejayaan Faizal yang dianggapnya sebagai seorang abang itu.
"Ketika saya dan Suki menyertai OIAM, kami masih bersekolah. Faizal pula ketika itu, dia memang sudah memiliki kriteria untuk menjadi seorang penyanyi dan komposer.
"Jadi, dia berada di tempat dan masa yang tepat sehingga dia mampu menjadi seperti hari ini," kata Alif yang masih lagi mengekalkan hubungan akrab dengan Faizal.
0 ulasan:
Catat Ulasan