Era kegemilangan lagu-lagu nyanyian Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sudirman Arshad, A. Ramlie, S. Jibeng, Puan Sri Saloma, Datuk Sharifah Aini atau pun sesiapa jua seangkatan mereka masih lagi menjadi pilihan sesetengah individu tatkala melepaskan 'gian' di pusat-pusat karaoke.
Justeru, Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan kelangsungannya menganjurkan pertandingan Bintang Klasik Nasional 2010 (BKN 2010) yang saban tahun semakin mendapat perhatian.
Setelah beberapa siri jelajah mencari pesertanya di peringkat negeri, akhirnya 24 peserta terpilih ke peringkat separuh akhir.
Pada 13 dan 20 November ini, TV2 akan menyiarkan rakaman peringkat separuh akhir. Manakala, peringkat akhir pula akan disiarkan secara langsung di TV1 pada 28 November ini.
Dibahagikan kepada enam zon berlainan iaitu Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sabah dan Sarawak, dua wakil setiap zon iaitu juara dan naib juara kategori lelaki dan kategori wanita bakal beraksi di peringkat separuh akhir.
Ini bermakna, seramai 24 peserta akan beraksi di pentas separuh akhir nanti bagi bersaing merebut 12 tempat ke peringkat akhir.
Antara peserta yang dimaksudkan ialah Zainal Mohd. Isa (Jen) yang mewakili zon Sabah, Tuan Izatt Izzuddin Tuan Abdul Aziz (Jatt / zon timur), Syafful Mohamzani (Epul / zon utara), Muhammad Redzuan Nasaruddin (Iwan / zon tengah), Muhammad Fadhlullah Abdul Majid (Fadh / zon tengah) dan Dzairy Ahad (Ary / zon Sarawak).
Bagi kategori wanita pula antara yang terpilih ialah Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin (zon utara), Nor Fazrah Bahari (zon tengah), Farah Norashikin Abd. Rahim (zon timur), Florence Lo (zon Sarawak) dan Siti Nirzawati Mohd. Shom (zon Sabah)
Penerbitnya, Rosli Derani berkata, pertandingan ini telah pun memasuki tahun keempat penganjuran dan akan diteruskan pada setiap tahun.
"Pertandingan sebegini penting demi mempertahankan lagu-lagu Melayu klasik yang melambangkan keluhuran budi dan santun masyarakat Melayu.
"Ia juga merupakan usaha murni dalam mewujudkan generasi muda yang menghargai sesuatu nilai seni mengikut peredaran zaman," katanya.
Mengenai format pertandingan tahun ini, Rosli memberitahu, ia tetap kekal seperti sebelum ini.
Jelasnya, beberapa kriteria seperti vokal, penghayatan, kawalan suara dan keaslian persembahan akan menyumbang markah bagi penentuan juara.
Bezanya, hadiah untuk bakal juara setiap kategori dinaikkan menjadi RM15,000. Bagi pemenang tempat kedua dan ketiga, mereka akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000.
Pemenang saguhati juga akan dihadiahkan dengan wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang. Selain wang tunai, kesemua peserta akhir akan mendapat trofi dan hadiah iringan lain.
0 ulasan:
Catat Ulasan