Rancangan program realiti hiburan kanak-kanak Idola Kecil kembali lagi dengan musim ketiga. Kemunculan rancangan ini bukan saja memberi peluang kepada 10 peserta bertuah dari seluruh negara menunjukkan bakat terpendam mereka, malah membentuk jatidiri, mengubah sikap mereka menjadi lebih berkeyakinan, cekal dan lebih bertanggungjawab.



Perjalanan kehidupan sebagai peserta Idola Kecil 3 kini bermula dengan latihan vokal, koreografi, lakonan, tatarias, persembahan ketika membuat persembahan. Kelas disediakan adalah sebagai persediaan kepada mereka ketika di pentas.

Menariknya, mereka berpeluang mengikuti kelas kamera. Selepas mempelajari teknik mengendalikan kamera, mereka dibawa ke Zoo Negara dan diminta mengambil gambar sekeliling mengikut kreativiti masing-masing. Setiap gambar menarik akan ditempatkan di ruangan kreatif buat tatapan peminat mereka.

Keseronokan berganda bagi mereka apabila dapat meluangkan masa di Feffy's Kids Spa. Apa yang menarik di sana? Saksikan Klip Ekstra Idola Kecil (Jumaat, jam 9 malam) dan Klip Mini Idola Kecil 3 (Isnin-Khamis, jam 7 malam).

Pada masa sama, kami berkesempatan bertanya peserta Idola Kecil 3 seperti Deera, 11, yang gementar apabila berjauhan daripada keluarga.

Namun dia sentiasa mengingati pesanan ibunya untuk membuat yang terbaik dan tidak malu bertanya jika tidak memahami sesuatu perkara.

Seperti peserta lain, perasaan gemuruh untuk membuat persembahan tidak dapat dielakkan tetapi berjanji untuk memberikan yang terbaik ketika di atas pentas.

Bagi Hadi, 11, untuk bergelar sebagai Idola Kecil, dia perlu yakin pada diri sendiri di samping tekun mengikuti latihan vokal dan koreografi walaupun ada perasaan takut menyelubungi.

Menurutnya, pengalaman menarik apabila dipilih sebagai peserta Idola Kecil 3 ialah bertemu dan bergambar dengan selebriti popular tanah air seperti Ady Putra, Aaron Aziz dan Nabila Huda ketika mengikuti Karnival Jom Heboh di Batu Kawan, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Sementara itu, Angel, 11, dan Shazleen, 12, yang masing-masing berasal dari Sabah dan Sarawak, perlu memberi tumpuan penuh kepada setiap kelas dihadiri walaupun kadangkala merindui keluarga mereka.

Mereka perlu berusaha keras dan memupuk semangat jatidiri yang kuat demi persembahan terbaik untuk konsert akan datang.

Si cilik Adiba, 10, pula menghilangkan perasaan rindu kepada keluarga dengan meluangkan masa bersama rakan Idola Kecil 3 yang dianggap sebagai abang dan kakaknya sendiri.

Adiba menyatakan Farra, 10, yang paling rapat dengannya kerana meminati penyanyi sama iaitu ratu rock Malaysia, Ella.

Marilah sama-sama saksikan persembahan menarik 10 peserta cilik ini dalam konsert Idola Kecil 3 pada setiap Sabtu, jam 9 malam hanya di TV9, saluran Di Hatiku!

Oleh Sha Dila Halid

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top