Gelaran Dewi Remaja amat sinonim dengan pertandingan yang diadakan menerusi majalah Remaja. Program yang diwujudkan sejak 1980-an ini bertujuan mencungkil bakat baru untuk diketengahkan dalam bidang modelling. Antara yang lahir menerusi Dewi Remaja ialah Aleeza Kassim, Juliana Banos,Annahita Bakavoli, Scha Al Yahya dan ramai lagi.

Menerusi Oranje TV, anak syarikat SEDANIA Group, Pertandingan Dewi Remaja 2010 akan mula menemui peminat menerusi saluran Astro Ria bermula 24 November ini, jam 9.30 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania TV,Azrin Mohd Noor, berkata program yang disiarkan setiap Rabu ini diterbitkan mengikut acuan mereka sendiri. Ia bukan hanya berkisarkan ratu cantik sematamata tetapi turut menonjolkan mengenai kecantikan dalaman yang ada pada setiap wanita.

“Kami lihat pertandingan realiti TV sekarang banyak menonjolkan konsep nyanyian. Semua orang nak jadi penyanyi. Itulah sebabnya kami olah dalam bentuk sendiri agar nampak menarik. Program ini menampilkan 12 peserta yang bersaing untuk merebut gelaran juara Dewi Remaja 2010.


“Kesemua peserta berada dalam lingkungan usia 18 hingga 24 tahun dan kebanyakan mereka adalah lulusan universiti. Inilah tujuan kami sebenarnya yang mahu menampilkan program berbentuk ratu cantik, sebaliknya mencari pakej lengkap yang lebih baik dalam diri seseorang juara.


“Peserta ini diberi pelbagai pendedahan termasuk sesi ‘grooming’ dan pelbagai lagi yang membabitkan personaliti terpilih sebagai tetamu. Kami membuat rakaman untuk enam episod yang membabitkan aktiviti mereka sewaktu dikuarantin di sebuah tempat khas.Ada juga unsur dramatik.

“Pada lima rakaman, setiap aktviti mereka akan diberi markah oleh juri. Manakala pada episod keenam, paparan semula semua episod akan disiarkan kepada penonton. Sebenarnya kami tidak membuka undian kepada peminat untuk mengundi kerana sistem ini sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Pemenang hanya dinilai berdasarkan markah terkumpul yang diberikan oleh juri pada setiap episod,” katanya.


Pertandingan akhir pula bakal berlangsung 5 Januari 2010 akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria. Memandangkan Scha Al Yahya hadir menerusi Pertandingan Dewi Remaja, pihaknya bercadang menampilkannya sebagai pengacara bersama Awal Ashaari.

Sementara itu, tiga peserta yang dibawa ke sesi fotografi bersama Rap baru-baru ini, meluahkan perasaan gembira masing-masing apabila berpeluang menyertai program ini.


Mereka adalah Mas Hazirah Saifuddin atau Iraa, 20, yang berasal dari Shah Alam penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Pelancongan PTPL.


“Ini pengalaman pertama saya masuk pertandingan seumpama ini.Alhamdulillah saya dapat galakan dari keluarga dan kawankawan.


Ketika di kuarantin saya rasa begitu bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada Nasha Aziz,” katanya juga pemegang tali pinggang merah dalam seni taekwondo.


Hafizah Sulaiman atau Fizz, 23, yang berasal dari Muar Johor dulunya bekerja sebagai perunding kecantikan dengan syarikat Sendayu Tinggi. Namun kerana minat yang mendalam dalam seni, anak kedua dari empat beradik ini sanggup meninggalkan bidang yang sudah empat tahun diceburinya ini.


Sharifah Zarinatasha Syed Azni Jamalullail atau Zarina, 21, dari Kuala Lumpur pula baru saja menamatkan pengajian dalam Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti LimKokWing.Anak kedua dari tiga beradik ini mendapat galakan adiknya yang bersungguh- sungguh menyuruhnya menyertai pertandingan ini.

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top