Walaupun pada awalnya agak keberatan untuk menerima tawaran sebagai heroin filem seram komedi itu, dia akhirnya bersetuju untuk menerima peluang tersebut selepas mendapatkan pandangan rakan-rakan dalam industri hiburan.
"Memang dari awal lagi ketika ditawarkan watak dalam filem ini saya agak keberatan untuk menerimanya. Bukan apa, seperti yang saya maklumkan dulu bahawa saya seorang yang penakut.
"Apatah lagi, saya sudah berniat untuk berehat sepanjang bulan puasa ini untuk menumpukan perhatian pada keluarga dan ibadat. Namun, selepas mengambil kira pendapat teman-teman industri, saya memutuskan untuk mengambil peluang keemasan ini.
"Tawaran ini adalah satu penghargaan yang besar ertinya bagi orang baru seperti saya,"
Selepas mengesahkan pembabitannya dengan produksi filem berkenaan, dia mengakui semakin berdebar-debar dan takut untuk melaksanakan tanggungjawab itu.
"Terus-terang, saya sangat takut dan bimbang pada waktu ini. Saya risau sama ada saya mampu mempersembahkan lakonan yang berkualiti atau sebaliknya.
"Apabila melibatkan filem-filem arahan Mamat Khalid, harapan penonton adalah tinggi dan saya bimbang jika tidak mampu menjayakannya sebaik yang mungkin," katanya sambil berharap peluang tersebut dapat melebarkan lagi karier seninya.
Dalam filem yang berkisar tentang perjalanan sekumpulan geng motosikal menuju ke Kuala Lumpur itu, Neelofa bakal bergandingan dengan aktor dan penyanyi Awie, Shahz Jaszle, Dazreen dan seorang lagi aktres baru.
Menurut pengarahnya Mamat Khalid, judul asal filem tersebut iaitu Highway to Hell terpaksa dipinda kepada Rentaz bagi mengelakkan sebarang pertikaian, kontroversi atau salah faham di kemudian hari.
0 ulasan:
Catat Ulasan