Adipati Dolken atau nama sebenar, Adipati Koesmadji antara hero muda paling popular di negara jiran. Jejaka berdarah kacukan Jawa-Jerman yang dilahirkan pada 19 Ogos 1991 ini, memulakan kerjaya sebagai pelakon pada 2008 selepas dipujuk kakaknya yang juga aktres Gianina Emanuela.

Mula dikenali menerusi sinetron Kepompong dan filem Putih Abu Abu dan Sepatu Kets, anak bongsu daripada tiga beradik ini mampu berlagu riang dengan pencapaiannya apabila mampu meletakkan diri sebaris dengan pelakon gred A negara kelahirannya.

Adipati Dolken

Ketika bertemu mata dengannya di lokasi penggambaran filem Sang Martir di kota Jakarta baru-baru ini, anak muda berusia 21 tahun ini mesra berkongsi perkembangan terkini, pembabitan awal dalam dunia seni serta impiannya mencipta nama di luar negara.

"Kisah saya mungkin tidak menarik seperti aktor lain. Semuanya bermula dengan pujukan kakak yang mengajak menyertainya dunia lakonan. Mulanya saya menolak kerana tidak berminat tetapi apabila dia cakap boleh dapat banyak wang, saya ubah fikiran.

"Bermula dengan peranan kecil, saya akhirnya mendapat kepercayaan muncul sebagai pelakon utama. Untuk mendapatkan kepercayaan itu bukan mudah kerana persaingan di sini (Indonesia) sangat sengit.

"Saban hari ada saja wajah baru yang berbakat dan ada juga bersandarkan rupa. Jika lalai, pasti ada yang bisa ganti posisi kita. Pernah saya putus asa dan hampir menarik diri.

Adipati Dolken

"Selepas beberapa produksi, saya mula jatuh cinta dengan bidang ini. Niat yang dulunya mahu meraih pendapatan lumayan, perlahan-lahan berubah. Kini saya berlakon kerana kecintaan yang cukup mendalam. Saya amat menitikberatkan kualiti persembahan serta kepuasan dalam berkarya," katanya yang berpegang teguh dengan ungkapan disiplin tunjang utama kejayaan.

Aktor yang pernah bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional ini menyifatkan 2012 tahun terbaik buatnya apabila muncul dengan empat filem iaitu 18++ Forever Love, Malaikat Tanpa Sayap, Perahu Kertas dan Sang Martir.

Untuk peminat Adipati di Malaysia, 18++ Forever Love dan Malaikat Tanpa Sayap disiarkan di Malaysia menerusi Astro di saluran Indopek. Khabarnya, filem 'berhantunya', Perahu Kertas yang diadaptasikan dari novel karya novelis terkenal, Dewi Lestari atau Dee juga sedang diusahakan pihak tertentu untuk ditayangkan di pawagam Malaysia.

Adipati melihat perkembangan positif ini sebagai permulaan yang baik untuknya dikenali di Malaysia dan berharap ada pihak sudi mengundangnya berlakon di sini.

"Saya senang dan bangga apabila filem lakonan saya di mainkan di Malaysia. Sejujurnya, saya teringin berlakon di Malaysia dan jika ada tawaran dan ketika itu ada kelapangan, pasti saya terima dengan besar hati.

"Biarpun belum pernah sampai ke Malaysia, sudah banyak cerita yang saya dengar daripada rakan-rakan. Teringin juga ke sana tetapi belum ada kesempatan lantaran jadual saya sangat padat.

"Salah satu impian saya adalah mencipta nama di luar negara, bukan saja Asia tetapi juga di Eropah serta Amerika Syarikat. Bunyinya mungkin terlalu tinggi dan tidak mampu digapai tetapi saya perlu optimis. Dalam hidup ini tidak ada yang mustahil tetapi kita kenalah berusaha keras," kata peminat setia Leonardo DiCaprio yang turut menganyam hasrat bergelar sutradara satu hari nanti.

Menjawab karya manakah yang paling dekat dengan jiwanya, Adipati dengan pantas menjawab Malaikat Tanpa Sayap yang mengisahkan seorang remaja bernama Vino yang memilih untuk berkorban demi menyelamatkan adiknya dan juga maruah keluarganya. Kesusahan yang dialami Vino pernah dilaluinya dan persamaan itulah yang menarik perhatiannya menjayakan filem itu.

Bagaimanapun katanya, jika ditanya aspek kepuasan sudah pasti Perahu Kertas arahan Hanung Bramantyo kerana filem yang sekali lagi menggandingkannya dengan Maudy Ayunda selepas Malaikat Tanpa Sayap itu bukan sebarang karya apabila diadaptasikan dari novel paling laris.

"Beban menjayakan Perahu Kertas sangat berat. Saya harus pastikan watak Keenan benar-benar hidup dan selari seperti yang digambarkan dalam novel. Ramai membaca novel ini dan mereka meletakkan harapan yang sangat tinggi.

"Biarpun tidak seratus peratus sama, saya berikan yang terbaik malah saya belajar melukis di daerah Menteng, Jakarta Pusat supaya dapat menjayakan adegan melukis senatural mungkin. Syukur ramai suka dengan persembahan saya dan Maudy yang tampil sebagai pasangan saya, Kugi.

"Filem ini juga besar maknanya apabila ia mendidik penonton secara halus agar membuang rasa ego andai kita mahukan cinta sejati. Berbeza dengan Keenan, di dunia realiti saya akan berterus-terang jika sukakan seseorang.

"Kalaupun cinta saya tidak bersambut, tidak mengapa. Setidak-tidaknya saya luahkan isi hati dan tidak ralat," katanya yang tidak sabar menantikan reaksi penonton terhadap sekuel Perahu Kertas iaitu Perahu Kertas 2 yang akan menyusul di pawagam tidak lama lagi.

Tidak merahsiakan hatinya kini sudah dimiliki seorang pelakon wanita, aktor ini bagaimanapun enggan mengulas siapakah aktres bertuah itu. Barangkali kontroversi tersebar gambar panasnya bercium dengan bekas kekasihnya, Chika Anastasya Kinsky menjadikan dia lebih berhati-hati berbicara soal pasangan barunya.

Pun begitu, media seberang rancak dengan spekulasi Maudy adalah cinta hati baru aktor kacak itu namun baik Adipati mahupun Maudy menegaskan mereka hanya teman rapat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top