Zaiton Ceritaku bukanlah sebuah filem bertaraf mega yang menelan kos pembikinan berjuta-juta ringgit. Berdasarkan gaya pembikinannya, filem arahan Esma Danial Md. Isa itu boleh disiapkan dengan kos tidak lebih daripada RM1 juta.

Jalan cerita filem terbitan Bruang Filem Sdn. Bhd. itu juga bukan terlalu berfantasi sehingga ke angkasa lepas. Filem itu cuma tentang pengalaman yang pernah dilalui oleh Zaiton Sameon sebagai penyanyi popular tahun 1980-an.

Esma, Zaiton mahupun Bruang Filem Sdn. Bhd. boleh berbangga dengan Zaiton Ceritaku yang berkonsepkan filem autobiografi itu yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara 1 November ini.

Sebabnya, belum ada filem autobiografi tentang individu-individu popular tanah air yang diterbitkan setakat ini. Malah, kisah hidup seniman seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga belum pernah di angkat ke layar perak.

Banyak sebab mengapa sebelum ini tidak ada filem autobiografi tempatan dihasilkan. Antaranya disebabkan kekangan dari sudut paparan jalan cerita yang tentunya lebih banyak berdasarkan kisah benar individu yang dipaparkan itu.

Namun, dunia perfileman di negara ini tidak seperti di Barat kerana para pengarahnya mempunyai lebih banyak kebebasan untuk berkarya dalam memaparkan cerita-cerita yang sebenar.

Sedangkan membikin filem autobiografi tempatan berbeza dan lebih sukar berbanding genre-genre filem lain. Kesukaran itu bukannya berdasarkan sudut-sudut teknikal pengarahan tetapi lebih soal menjaga hati pihak-pihak lain yang terbabit dalam filem tersebut.

Banyak cerita yang sensitif atau tidak menguntungkan akan dipadam daripada dimuatkan dalam filem autobiografi tempatan. Mungkin lebih daripada 50 peratus cerita sebenar yang hendak dipaparkan terpaksa ditiadakan.

Soal menjaga maruah individu yang dipaparkan dalam sesebuah filem autobiografi serta ahli-ahli keluarga mereka yang terbabit sangat diambil berat bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini selepas itu.

Apabila diambil kira semua faktor itu, agak sukar untuk menghasilkan sebuah filem autobiografi termasuklah Zaiton Ceritaku. Ekoran kekangan itu, filem autobiografi cuma setakat setaraf nilainya dengan filem-filem cereka yang lain.

Sedangkan sepatutnya nilai estetika dan eksklusif karya filem autobiografi lebih tinggi kerana tidak ramai penonton yang tahu kisah-kisah di belakang tabir individu terbabit. Ini yang membezakan dengan genre-genre filem lain.


Cuma dalam filem autobiografi seperti Zaiton Ceritaku yang skripnya ditulis oleh Ainon Arif itu, suatu persepsi lain pula yang timbul. Filem dalam genre ini seakan-akan sekadar menjadi sebuah filem yang penuh dengan teladan.

Filem autobiografi bukan setakat menceritakan zaman kegemilangan individu yang ditampilkan tetapi juga era kejatuhannya. Dalam Zaiton Ceritaku, filem itu lebih berkisar tentang kedukaan selepas bergelar penyanyi popular.

Biarpun tidak sepenuhnya memaparkan secara berani kisah tentang dunia artis yang penuh dengan cerita sensasi, filem autobiografi sedikit sebanyak boleh memberi teladan terutama buat golongan artis yang lain.

Sikap golongan artis yang selalu dikaitkan dengan sisi-sisi kurang elok seperti soal disiplin, skandal dan hanyut dibuai dunia glamor antara yang patut diambil kira. Dalam konteks ini, mungkin filem autobiografi tempatan sukar untuk berdiri di atas genrenya sendiri.

Bagaimanapun, pada masa sama sukar disangkal filem autobiografi seperti Zaiton Ceritaku mungkin boleh dijadikan pengajaran buat golongan artis. Zaiton melalui cerita filem itu mengajar golongan terbabit bahawa puncak kilauan glamor cuma bersifat sementara sahaja.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top