Program realiti, Mentor musim keempat (Mentor 4) semakin menghampiri kemuncaknya apabila pertandingan akhirnya akan diadakan malam esok (4 Julai).


Bertempat di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), tiga protege bakal memberikan saingan yang cukup hebat untuk melayakkan diri mereka bergelar juara.

Bukan sahaja protege yang menanti dalam debar untuk beraksi di pentas akhir tetapi mentor mereka juga memiliki perasaan yang sama.

Sudah pasti, mereka mengharapkan anak didik mereka memberikan persembahan hebat dalam memancing undian peminat serta memikat hati juri pada malam itu nanti.

Sekadar menyingkap sejarah, Mentor pertama kali diperkenalkan pada tahun 2005 dengan menyaksikan anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Pija menjadi juara Mentor pertama bersama mentornya, Zainal Abidin.

Setahun selepas itu pula menyaksikan seorang lagi peserta dari bumi Sabah, Fiq diangkat sebagai juara bersama ikon rock unggul negara, Amy yang menjadi mentornya.

Selepas dua tahun menemui peminat, Mentor direhatkan seketika bagi memberi laluan kepada program realiti Gang Starz yang bertahan selama dua musim.

Kemudian, barulah tahun lalu Mentor kembali untuk musim ketiga dan berjaya meninggalkan impak yang besar.

Sebagai bukti, juaranya iaitu Black kini berjaya diletakkan sebaris dengan penyanyi lelaki popular yang lain dan mencipta pelbagai kejayaan.

Semuanya atas didikan tegas dan tunjuk ajar yang diberikan oleh mentornya, Mas Idayu.

Seperti musim terdahulu, Mentor 4 juga menyediakan hadiah lumayan buat mentor dan protege apabila juaranya bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi.

Sementara itu, naib juara pula akan memenangi RM30,000 dan trofi manakala hadiah berupa RM10,000 beserta trofi akan menjadi milik pemenang tempat ketiga.

Sekadar menghangatkan suasana, Wow! mahu membawa pembaca setianya untuk melihat protege manakah yang berpotensi untuk bergelar juara Mentor 4.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top