Perubahan dan pembaharuan program Raja Lawak Astro membuahkan hasil kerana bakat pelawak yang dilahirkan semakin mendapat tempat di hati peminat apabila kategori Artis Komedi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) didominasi semua bekas peserta program itu.

Nama yang tercalon, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, Angah (Iskandarsah Hashim), Johan (Mohd Yazid Lim Mohd Aziz), Ahmad Nabil Ahmad dan Zizan (Mohd Razizan Razak). Bagaimanapun pada majlis pengumuman senarai finalis ABPBH2010 di Holiday Villa, Subang itu, Nabil yang juga pemenang kategori itu tahun lalu, tidak hadir. Dengan lawak bersahaja, mereka berjaya membawa sinar baru kepada dunia jenaka tanah air. Namun begitu, barangkali ketika berada dalam gelanggang Raja Lawak, ada antara mereka kurang menyerlah. Mungkin penonton tidak perasan dengan kehadirannya.

Bagaimanapun dengan peredaran masa, usaha dan pengalaman sedikit demi sedikit berjaya memahatkan nama mereka sebaris artis popular lain. Along misalnya yang dilahirkan dari Raja Lawak musim kedua, kini antara bakat baru yang semakin diminati ramai.

"Selepas tiga tahun barulah saya menikmati kejayaan sebagai pelawak, pengacara dan pelakon. Saya sangat berbangga kerana kategori Artis Komedi Lelaki Popular didominasi bakat yang dicungkil dari Raja Lawak. "Ketika mula bertatih dalam bidang ini, memang terasa peritnya. Namun menyedari peluang yang menunggu di depan, saya teruskan juga langkah itu dan perubahan mula terasa apabila saya berlakon filem Adnan Sempit. "Selain itu setiap tahun saya mengikuti road tour ABPBH sebagai hos. Oleh kerana setiap tahun saya berpeluang mendekati peminat, rezeki sebagai anak seni terus terbuka luas dan tahun ini saya bersama rakan yang lain tercalon dalam ABPBH2010. "Saya gembira dan teruja kerana kami bermula di platform sama dan kini mencipta kejayaan. Masyarakat hari ini mahukan lawak yang baru dan segar di mana ia juga cabaran buat kami memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya.


Bagi Angah pula, apabila namanya dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular, dia bertambah yakin dengan bakat dianugerahkan Allah kepadanya. "Dengan tubuh yang gempal, bimbang juga masyarakat tidak menerima saya kerana saya tahu peminat akan memilih yang kacak. Tetapi dengan perkembangan terbaru ini, minda masyarakat semakin terbuka.


"Asalkan ada bakat dan sentiasa mahu bekerja keras, pasti boleh berjaya. Saya menyertai Raja Lawak musim pertama dan mendapat nombor lima. "Sebaik berakhir program itu, terasa perit untuk mencari rezeki dalam industri ini. Bagaimanapun setahun selepas itu barulah saya mula didatangi pelbagai tawaran berlawak dan berlakon. "Saya berharap dengan pencalonan saya dalam ABPBH2010, memberi impak lebih besar kepada kerjaya seni saya. Apabila kelima-lima bekas peserta Raja Lawak tercalon dalam Artis Komedi Lelaki Terbaik, ia juga sejarah buat program itu. "Selain bersyukur dengan pencalonan ini, saya juga berharap agar penganjur memberi peluang kepada kami berlima untuk membuat persembahan pada malam anugerah itu. "Saya bercadang membuat persembahan muzikal komedi di mana kami akan menunjuk bakat nyanyian pula," katanya.

Zizan yang diramalkan akan menjulang trofi Artis Paling Popular ABPBH2010 juga sangat bersyukur dan berterima kasih kepada peminat kerana mengundinya sekali gus tersenarai buat tahun ketiga. "Walaupun belum menang tetapi saya sudah dapat rasakan satu kemenangan tersenarai sebagai Top 5. Apa yang boleh diperkatakan sebaik melihat semua nama yang tersenarai dalam kategori Artis Komedi Lelaki lahirnya dari program Raja Lawak, saya cukup berterima kasih kepada Michael Simon yang mencetuskan idea melahirkan program Raja Lawak.

"Dalam pada kita leka, sebenarnya program ini bukan saja melahirkan ramai pelapis komedi tetapi melatih kami berdikari sebaik keluar dari program itu," katanya.

Pengumuman senarai Top 5 bagi kategori itu juga dilihat tidak memihak kepada nama artis komedi yang sering tersenarai sebelum ini.

"Walaupun kali ini tiada nama artis lama dalam kategori ini, mungkin disebabkan permintaan. Namun kita tidak boleh kata yang lama tidak bagus kerana tiada yang lama maka tidak akan ada yang baru, ia bergantung atas permintaan mereka yang mengundi.

"Dari segi cabaran antara kami pula, saya tidak boleh komen kerana mereka semua kawan saya. Siapa pun yang menang ia sebenarnya mewakili program Raja Lawak yang pernah kami sertai dan saya tidak fikir ia satu pertandingan.

"Jika betul saya ditabalkan sebagai Artis Paling Popular, mungkin saya akan menangis kerana saya tidak tahu apa yang ingin dicakapkan kecuali mengucapkan jutaan terima kasih kepada Malaysia dan akan terus bekerja keras serta tidak akan mengecewakan harapan peminat," katanya.

Sementara itu Johan berterima kasih kepada Berita Harian dan peminat kerana kali pertama dia tercalon sekali gus tersenarai dalam Top 5.

"Ini penghargaan daripada peminat mengiktiraf karier saya sejak bermula 2005. Berada dalam senarai Top 5 pun sudah dikira menang di kalangan hati peminat.

"Semua nama disenaraikan dalam Top 5 ini sebenarnya sudah dikira pemenang dan mana yang akan menaiki pentas nanti itu dikira sebagai bonus atas undian populariti peminat.

"Walaupun saya tahu ada calon sebelum ini bukan dari program sama, tetapi bakat mereka juga tidak boleh dipertikaikan cuma mungkin belum rezeki mereka.

"Saya belum boleh meramalkan siapakah antara kami berlima memenangi anugerah ini, mungkin Zizan, Along, Angah atau Nabil, namun buat masa ini biarlah saya meletakkan diri saya yang paling bawah kerana ini adalah pengalaman pertama saya dalam ABPBH.

"Saya tidak ada masalah dengan peminat dan senang dengan mereka, saya teringin mengikuti siri Jelajah ABPBH2010 tahun ini, namun terpaksa melihat kembali jadual tugas saya yang kini sedang sibuk mengacara Raja Lawak musim kelima dan drama episod," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top