Pentas Pilih Kasih minggu 3 mengejutkan penonton apabila Rosyam Nor menyingkir dua peserta Afiq Meadin dan Leyla Krisya .Mereka menjadi peserta kedua dan ketiga disingkirkan selepas Fizi Ali terkeluar minggu lalu.

Penyingkiran Afiq dan Leyla Krisya menyelamatkan Bil Azali, seorang lagi peserta yang mendapat undian terendah tetapi kali ini dia masih terselamat.

Kejutan demi kejutan dilakukan Rosyam dari minggu ke minggu sehingga penonton tidak dapat menjangka apa yang akan terjadi seterusnya.

Bagaimanapun, dua juri tetap Pentas Pilih Kasih iaitu Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Fauziah Nawi bersetuju dengan dengan keputusan Rosyam menyingkirkan Afiq Meadin dan Leyla Krisya kerana kedua-duanya tidak menunjukkan peningkatan pada minggu ini. “Mereka bukan sahaja tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam lakonan, tetapi juga mempunyai masalah disiplin,” kata Rosyam.

Secara keseluruhannya pada persembahan semua peserta pada minggu ketiga dianggap menghiburkan. Mereka menampilkan persembahan teater bertajuk Tan Tin Tun.

Jalan cerita yang digarap oleh pelakon dan pengarah, Erma Fatima itu mendapat sambutan yang hebat dari penonton yang berada di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad. Malahan persembahan mereka juga memikat hati kedua-dua juri tetap rancangan realiti ini. “Akhirnya anda semua menghiburkan seluruh tanah air. Hampir kesemua anda berjaya menonjolkan watak masing-masing dengan penuh perasaan dan menarik,” kata Dr. Abu Hassan.

Fauziah pula menganggap ini sebagai suatu kegilaan. “Saya mahu anda meneruskan kegilaan anda ini dan tunjukkan persembahan yang lebih baik pada minggu yang akan datang. Peningkatan yang membanggakan ini diharap terus berjalan dan kita menjangkakan yang lebih hebat dari mereka ini pada minggu akan datang,” kata Fauziah.

Minggu ketiga dilihat sebagai seimbang buat semua peserta Pilih Kasih apabila mereka ada menerima pelbagai kritikan. Menerusi monolog, keseluruhan peserta masih hambar dan banyak aspek perlu dipertingkatkan. Emosi dan alunan suara yang betul harus dilontarkan agar mesej yang ingin disampaikan meninggalkan kesan.

Perwatakan dan penghayatan juga amat perlu agar monolog yang dinyatakan tidak kosong semata-mata. Jika dilihat persembahan monolog ini, seperti biasa masih kaku dan hanya segelintir yang mendapat ulasan baik.

“Keseluruhan monolog anda tidak sampai kepada saya dan tidak menarik.” kata Dr Abu Hassan merujuk kepada persembahan Shasha Alkhred.

Namun, berlainan pula buat Kris Cempaka, Jay Iswazir dan Nur Jannah yang menerima sedikit pujian daripada pengkritik. Lakonan yang ditonjolkan dalam drama bertajuk Wasiat pada minggu ketiga ini turut memperlihatkan persembahan lebih matang dan berjaya.

Persembahan Ku Hariz dan Rosana terus mendapat tempat di hati juri. Ada yang mengatakan mereka adalah peserta pilihan pengkritik.

“Anda bak bintang pada malam ini dan saya mahu anda teruskan memberi persembahan yang lebih baik dari ini,” kata Dr Abu Hassan kepada Rosana selepas selesai teater Tan Tin Tun pada malam itu.

Info
Pentas Pilih Kasih diadakan di Auditorium RTM, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan setiap Sabtu, jam 8.30 malam. Program ini turut disiarkan secara langsung di TV2.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top