Bukan saja menarik perhatian penonton dengan lawak yang bersahaja, malah kesemua 12 peserta program realiti televisyen Raja Lawak Musim ke-5 kali ini mempunyai bakat tersendiri sebagai penghibur, bahkan persembahan yang ditonjolkan peserta pada minggu pertama Gelanggang Raja Lawak memuaskan hati penonton.

Walaupun minggu pertama adalah tempoh pengenalan, kesemua peserta tidak membuang masa untuk menunjukkan bakat masing-masing dengan kreativiti tersendiri bagi menghiburkan penonton.

Begitupun, persembahan yang dipertontonkan mereka itu masih belum mampu menambat hati juri untuk digelar sebagai pelawak pelapis.

Apa pun, setiap persembahan yang ditonjolkan pada malam itu menunjukkan keupayaan dan kemampuan peserta yang dipilih mempunyai bakat dalam bidang komedi, namun ia masih di peringkat permulaan untuk diadili.

Meskipun tiada penyingkiran, minggu pertama sudah menunjukkan tiga peserta berada di kedudukan terbawah melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sudah bermula sejak 27 Disember lalu.

Lebih memeranjatkan penonton, Bob Lokman yang juga juri tetap Raja Lawak sejak musim pertama hingga keempat menarik diri sebagai juri tetap musim ini dan digantikan dengan juri tetap baru iaitu Sathiya dan David Teo.

Pemilihan kedua-dua juri itu dibuat bagi menggabungkan produser, pengarah dan pelakon untuk mengadili peserta kali ini yang dianggap lebih mencabar dan berbakat di samping menerapkan konsep 1Malaysia bagi menarik minat penonton.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pemilihan mereka sebagai juri tetap itu selain Afdlin bukan saja mengadili peserta, malah pengajar kepada peserta yang akan memulakan tugasan pada persembahan minggu seterusnya.

"Persembahan peserta akan menjadi lebih padat dan sempurna apabila ketiga-tiga juri ini turut bertindak sebagai tenaga pengajar dengan memberikan pandangan dan pendapat yang berbeza dari sudut pengarah, pelakon dan produser.

"Malah, kesemua peserta akan digarap bakat mereka bukan saja menjadi pelawak bahkan akan menjadi peserta yang serba boleh seperti peserta musim sebelum ini," katanya.

Apa yang menarik perhatian Afdlin, ramai peserta musim ini lebih bagus berbanding sebelumnya, bahkan ada peserta yang tidak menyerlah semasa sesi uji bakat menunjukkan persembahan yang luar biasa pada minggu pertama.

"Memang saya tidak menyangka peserta yang tidak menyerlah semasa uji bakat tetapi menyerlah pada malam pertama persembahan, namun agak kecewa kerana ada peserta yang menyerlah semasa uji bakat, tetapi tidak menonjolkan bakatnya pada minggu pertama ini," jelasnya.

Yang pasti, kesemua peserta sudah menunjukkan bakat mereka tersendiri, malah peserta yang berasal dari Sungai Besar, Selangor iaitu Nazmi bukan saja menarik perhatian penonton, bahkan menambat hati juri dengan lawak pelupanya.

"Saya suka dengan tenaga awak. Memang best! Ada konteks yang membuatkan kita ketawa. Ini yang kita nak cari, Raja Lawak macam ni," komen positif yang diberikan Afdlin kepada Nazmi, malah persembahan yang ditonjolkannya sememangnya bersemangat dan menjadi bualan setiap penonton.

Namun, di sebalik komen dan kritikan yang diberikan juri, ada peserta yang kurang menyerlah dan tidak menunjukkan bakat mereka dengan secukupnya seperti komen yang diberikan Sathiya; "cerita kosong dan biasa, tidak ada tema, tetapi bakat penghibur ada, bakat pelawak tiada".

"Kalau pukau saya, tak jadi dipukau. Gengster tak jadi, pak lawak boleh tahan, tetapi tak ada muka gengster langsung," komen David Teo kepada seorang peserta.

Apa pun, kesemua peserta musim ini yang terdiri daripada kumpulan Balas, kumpulan Bobo, Epy, kumpulan Kami, kumpulan Kopi O, Leman, kumpulan Lucky, Man, Nazmi, kumpulan Pukaw, kumpulan R2 dan kumpulan TBO sudah menunjukkan bakat masing-masing pada minggu pertama lalu.

Antara yang menerima ulasan positif David Teo ialah kumpulan Kopi O dan kumpulan Balas.

"You punya romance cukup mengkelakarkan semua orang," kata David merujuk kepada persembahan daripada kumpulan Balas.

Apa pun, semua juri sependapat peserta musim ini dianggap sangat hebat dengan mempamerkan bakat yang menarik dan mencuit hati penonton walaupun tugasan belum diberikan lagi berbanding peserta yang terdahulu.

"Saya memang seronok menjadi juri untuk musim ini kerana semuanya bagus belaka walaupun mereka baru berada pada minggu pertama sehinggakan saya tidak menyangka tiga yang mendapat undian terendah itu adalah di antara yang terbaik.

"Peserta musim ini sangat bagus dan mempunyai konteks yang sangat segar dalam persembahan serta berkaitan dengan isu-isu semasa serta mesej yang padat," ujar Afdlin.

Menurutnya, semua peserta mempunyai potensi yang sangat bagus dan berharap mereka boleh konsisten serta lebih berusaha untuk membuat persembahan terbaik pada minggu akan datang.

Berbekalkan tema Dulu Aku Kini Aku pada malam itu, kesemua peserta mampu memberi persembahan yang menarik dan bertenaga, selain diselitkan dengan lawak jenaka juri-juri dan pengacara Zizan dan Johan yang turut menghiburkan penonton.

Peratus Undi minggu pertama Gelanggang Raja Lawak Musim ke-5


TBO - 19%

Man - 12%

KAMI - 10%

BOBO - 9.6%

KOPI O - 7.7%

Nazmi - 7.0%

Epy - 6.6%

PUKAW - 6.1%

R2 - 5.8%

Leman - 5.6%

LUCKY - 5.2%

BALAS - 4.2%

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top