Kalau benar apa yang Cik Normah dengar ini, rasanya program Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) yang bakal diadakan selepas tamatnya program Raja Lawak nanti pasti akan mengembalikan semula zaman kegemilangannya yang sudah mula pudar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dari Pusat Penyiaran Asia yang terletak di Taman Teknologi Malaysia itu membawa perkhabaran bahawa untuk memantapkan lagi program AF yang sering menjadi bahan kritikan ini, pelbagai idea baru dicadangkan.
Daripada apa yang Cik Normah dengar, kononnya stesen TV berbayar ini bercadang melamar figura yang terkenal dari tanah seberang. Orangnya memang terkenal di negara ini dan hasilnya boleh dikatakan setanding dengan pengarah muzik dan bekas pengetua AF sebelum ini iaitu Datuk Ramli MS. Orang yang Cik Normah maksudkan ialah Erwin Gutawa.

Wah! Bukan kecil belanjanya kalau nak bawa Erwin datang ke Malaysia. Tentunya banyak bajet yang Astro keluarkan jika benar mereka mahu Erwin membimbing peserta program berkenaan.

Namun, Cik Normah nak ingatkan saja, jangan ghairah sangat nak cari pengetua yang hebat, tetapi pesertanya masih lagi di takuk lama. Menyanyi dan bakat ala kadar tapi kontroversi saja yang lebih. Itu belum masuk mereka yang berangan kononnya popular walhal tidaklah sehebat mana.

Cik Normah harap, pihak berkaitan dapat berfikir semasak-masaknya kerana pastinya perkara itu akan menjadi isu besar. Masa itu nanti akan timbullah pepatah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Seolah-olah negara ini sudah tidak ada lagi pemuzik atau karyawan seni yang hebat untuk menjadi pengetua program realiti itu sampai terpaksa mengimport dari tanah seberang.

Tambahan pula dengan sentimen sekarang. Jadi perkara macam ini, Astro kena ambil kira juga. Jangan nak syok sendiri, nanti akhirnya orang Astro juga yang akan berpeluh-peluh nak menjawab pelbagai kontroversi dan isu berbangkit di kemudian hari.

~ Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top