Juara Akademi Fantasia musim ke-8, Shahir sudah bikin panas dalam industri hiburan. Bukan disebabkan pencapaian yang membanggakan tetapi suhunya menggelegak apabila dia dikatakan tidak berdisiplin. Bermula dengan membatalkan sesi fotografi mengikut suka hati, meminta bayaran ketika diminta mengadakan fotografi dan yang terbaru, suka menghilangkan diri tanpa dapat dikesan oleh sesiapa.

Sikap tidak bertanggungjawab itu membuatkan banyak pihak pening termasuk pengurusannya. Khabarnya disebabkan masalah itu, terdengar ura-ura yang kononnya penganjur Anugerah Juara Lagu mahu menggantikannya dengan penyanyi lain.




Selepas sekian lama mendiamkan diri, akhirnya Shahir membuat pengakuan kepada Hip bahawa kehilangannya itu bukanlah kerana disengajakan tetapi disebabkan kesakitan yang dialaminya. Malah ketika temubual ini dibuat, Shahir baru saja selesai menjalani pemeriksaan kesihatan. Sambil memohon maaf atas apa yang berlaku, dia mengharapkan penjelasannya kali ini dapat memadamkan semua tuduhan yang tidak berasas sekali gus membersihkan kembali nama dan reputasinya yang sudah tercalar gara-gara gosip liar itu.

Hip: Ramai yang tertanya-tanya ke mana Shahir menghilang sebelum ini?

Sebelum ini saya pernah dimasukkan ke dalam wad. Selepas menjalani pemeriksaan darah, doktor mengatakan yang saya mempunyai tanda-tanda penyakit kronik. Ketika itulah perasaan saya berperang dengan pelbagai andaian buruk. Saya dikatakan mempunyai potensi untuk mendapat kanser. Sebaik saja dimaklumkan doktor, saya tak tahu nak buat apa. Dalam fikiran hanya terbayang mati saja. Disebabkan itulah saya lebih selesa mendiamkan diri kerana fikiran amat runsing ketika itu. Lebih merisaukan bagaimana jika keluarga saya mendapat tahu perkara ini, terutama bapa saya. Sudahlah dia ada darah tinggi. Bimbang juga jika berita buruk ini membuatkan penyakitnya bertambah teruk. Jadi disebabkan tidak mahu perkara ini kecoh, saya fikir lebih baik saya mendiamkan diri dan mencari jalan untuk mengubat penyakit ini.

Hip: Kalau begitu mengapa tidak berterus terang saja? Bukankah berdiam diri itu mengusutkan lagi keadaan?

Ikutkan hati memanglah nak berterus terang sebab tak mahu menyusahkan sesiapa. Tetapi perkara ini terpaksa dirahsiakan supaya keluarga tidak risau, jadi saya putuskan biarlah mendiamkan diri saja. Saya tak mahu lekas putus asa. Jadi saya sekali lagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Kali ini di hospital berlainan pula. Baru saja tadi saya dapat keputusan dan hasilnya alhamdulillah, saya bebas daripada ancaman kanser itu. Saya bersyukur dan baru sekarang saya rasa lega dan boleh berkongsi dengan semua orang sebab musabab saya hilangkan diri. Menurut doktor, mungkin sewaktu menjalani pemeriksaan buat kali pertama, saya dalam keadaan tertekan dan tubuh saya menghasilkan asid yang lebih menyebabkan simptom penyakit berbahaya itu muncul. Apapun, saya bersyukur kerana pihak pengurusan memahami keadaan ini dan turut sama membantu untuk merawat penyakit saya ini.

Hip: Shahir tak risau kejadian ini boleh menyebabkan reputasi dan imej bersih selama ini tercalar?

Saya sedar. Sebab itulah saya membuat penjelasan apa sebabnya menghilangkan diri. Saya harap selepas ini mana-mana pihak yang meragui mengenai disiplin saya tidak lagi mempunyai perasaan sebegitu. Bagaimanapun, saya akui, perbuatan ini memang menyusahkan banyak pihak dan saya minta maaf. Tapi, berkenaan tuduhan saya meminta bayaran untuk sesi fotografi adalah tidak benar sama sekali. Saya hairan bagaimana boleh timbul cerita seperti itu. Saya sedar media banyak membantu menaikkan nama saya. Jadi takkanlah nak minta bayaran pada mereka yang selama ini memberi publisiti. Begitu juga dengan cerita kononnya saya kena kongkong atau dikurung. Itu juga tidak benar sama sekali. Justeru, saya minta pada semua pihak supaya tidak lekas percaya dengan cerita yang tidak benar seperti ini.

Hip: Masih berhubung rapat dengan Rozita Che Wan?

Tidak ada perasaan apa-apa pun. Itu gosip semata-mata. Sebelum ini, sewaktu belum menjadi artis, saya sendiri ingatkan semua gosip itu betul. Tapi bila berada dalam industri ini, barulah saya tahu bahawa tak semua cerita yang digembar-gemburkan itu adalah benar. Sekarang ini saya lebih fokus pada kerjaya nyanyian saya dan juga persediaan untuk menghadapi AJL pada 9 Januari depan.

Hip: Shahir yakin peluang untuk bergelar finalis ABPBH 2010 tidak terjejas gara-gara semua kontroversi ini?

Semua itu bergantung pada rezeki. Kalau ada rezeki, Insya-Allah, adalah peluang bergelar finalis. Kalau tidak, mungkin saya boleh mencubanya pada masa hadapan. Apapun, saya harap peminat akan terus memberi sokongan pada saya. Insya-Allah, saya berjanji akan terus menjaga disiplin saya sama seperti sewaktu saya mulamula menyertai AF dulu. Kalau saya ada buat salah dan silap, harap dapatlah memberi teguran.

Oleh Farihad Shalla Mahmud

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top