Adlin Aman Ramlie dan Ning Baizura,bekas pengkritik tetap program realiti Akademi Fantasia (AF) musim terdahulu antara muka baru yang akan diserapkan sebagai tenaga pengajar AF musim ke-9, April depan.

Aznil Nawawi pula dilantik sebagai pengacara konsert mingguan.

Aznil pernah mengacarakan program popular itu dari musim pertama hingga musim kelima, sebelum tugas berkenaan diambil alih AC Mizal (musim ke-6 dan ke-7) dan gandingan Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley (musim ke-8).

Menurut sumber, Adlin yang juga seorang pelakon dan pengarah bertindak sebagai jurulatih drama, manakala Ning, bekas pengkritik tetap AF6 pula diberi mandat sebagai guru vokal persembahan.

“Setakat ini, hanya mereka berdua muka baru yang terpilih untuk menjadi tenaga pengajar musim ini, manakala tenaga pengajar lain yang akan menyumbang khidmat mereka ialah muka lama seperti Cikgu Syafizawati Syarif yang akan melatih vokal dari sudut teknikal dan Cikgu A Aris Kadir yang akan mengambil alih tempat Linda Jasmine untuk mengajar tarian kepada peserta musim ini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Baru-baru ini, Berita Harian turut menyiarkan laporan vokalis dan pengasas kumpulan Dewa, Ahmad Dhani, dipilih menerajui akademi berkenaan.

Difahamkan pengumuman rasmi senarai penuh tenaga pengajar AF9 akan diadakan selewat-lewatnya minggu depan.

AF9, yang akan menjadi edisi terakhir sudah memulakan pencarian pesertanya bermula minggu lalu di Kota Kinabalu, Sabah. Sesi uji bakat kedua pula diadakan pada 11, 12 dan 13 Februari ini, di Stadium Nasional, Bukit Jalil.



Tag: Adlin Aman Ramlie, af9, Akademi Fantasia (AF), Ning Baizura, tenaga pengajar AF musim ke-9

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top