Update: Juara Pilih Kasih 2 dimenangi Livonia

Senarai penuh pemenang Pilih Kasih 2klik sini

Peserta Pilih Kasih 2 semakin meningkat prestasi dan perkara itu diakui sendiri Rosyam Nor dan hal ini secara tidak langsung menjadi masalah kepadanya untuk memikirkan siapa bakal disingkirkan.

Dek perkara itu juga, Rosyam tekad tidak melakukan sebarang penyingkiran pada persembahan minggu ketujuh. Bagaimanapun, pada minggu kelapan, dua peserta perlu disingkirkan juga termasuk peserta wanita, Kris Cempaka yang dikatakan mempunyai pakej untuk pergi lebih jauh. Ramai yang mengikuti program itu dikatakan kecewa kerana melihat potensi Kris yang boleh pergi jauh sedangkan peserta itu sudah disingkir Rosyam tanpa memberi peluang kepadanya untuk membolosi ke peringkat final.

"Memang dia (Kris) mempunyai pakej sempurna untuk bergelar anak seni. Dia cantik dan boleh berlakon. Tapi kita kena faham format pemarkahan peserta ditentukan berdasarkan persembahan dari minggu ke minggu termasuk pada hari persembahan mingguan berlangsung.

"Dalam program ini, tidak wujud istilah sebab dia cantik, dia wajar dikekalkan. Kita nilai prestasi peserta sepanjang masa. Tersingkir juga bukan bererti berakhir perjuangan mereka. Sebaliknya, dia boleh berlakon dan melebarkan sayap lagi di luar sana. Peserta yang sudah tersingkir termasuk bintang Pilih Kasih musim pertama juga akan diundang berlakon dalam drama muzikal 26 episod bagi siaran RTM tidak lama lagi. Judulnya masih belum ada. Begitu juga siapa bakal memikul tanggung jawab mengarah drama itu," kata Rosyam ketika dihubungi B*POP, Rabu lalu.

Selepas lapan minggu bersiaran, pemenang Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tujuh kali itu turut mengulas potensi peserta yang bakal ditabalkan juara.



Malah, Rosyam sendiri begitu optimis juara Pilih Kasih 2 bakal berpihak kepada peserta wanita.

"Kalau musim pertama, juaranya lelaki. Musim ini, saya melihat kemenangan itu lebih condong kepada peserta wanita. Malah untuk kategori Pelakon Terbaik yang ditentukan juri profesional 100 peratus juga bakal disandang peserta wanita.

"Pemilihan juara, naib juara dan tempat ketiga seperti biasa akan ditentukan SMS. Tapi seperti kenyataan saya sebelum ini, saya turut mempunyai kuasa veto untuk menentukan pemenang.

Tenaga pengajar juga boleh memberi input untuk saya menentukan siapa bakal bergelar pemenang," katanya.

Berbanding program realiti lain, Pilih Kasih 2 disifatkan masih suam- suam kuku dan kurang popular. Tetapi Rosyam Nor mempunyai pandangan tersendiri mengenai program itu. Baginya, Pilih Kasih sudah mencipta jenama dan mempunyai peminat tersendiri.

"Nak kata suam-suam kuku, tak juga. Sebab ramai peminat yang menyedari kehadiran program ini. Ya... memang program ini tidak sepopular program realiti lain. Program ini juga sebenarnya sudah menjadi kebanggaan dan penanda aras di RTM. Harus diingat untuk berlakon di pentas teater bukan sesuatu perkara mudah. Jadi Pilih Kasih 2 cuba menyediakan platform itu dan ia bukan hiburan semata-mata. Kita tak boleh jangka populariti yang bakal diraih peserta dan pemenang akan datang sekelip mata.

"Dalam semua peserta yang masuk Pilih Kasih bukan semua yang akan jadi pelakon. Itu satu fakta yang tidak boleh diubah. Ada yang mungkin akan bergelar penyanyi atau pengacara. Fizi Ali, peserta yang tersingkir pada minggu kedua contohnya sudah dilamar sebagai pengacara Selamat Pagi Malaysia," kata Rosyam.

Oleh Zaidi Mohamad

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top