“Hayat abang tak lama. Abang nak mati di rumah,” kata penulis lirik, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43, ketika ditanya nasibnya selepas isterinya, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, atau Erema menuntut cerai daripadanya.
Dalam pertemuan bersama Metro Ahad, Seri Bayu mengakui dia kini hanya mendapat belas ihsan daripada keluarga angkat dan rakan.
“Kalau keluarga angkat tak ada, abang seorang diri. Erema selalu balik jam 5 atau 6 pagi. Abang pernah duduk di atas kerusi roda selama 16 jam, terpaksa tahan lapar...tahan buang air kecil dan besar.
“Kalau abang dah tak tahan (berkeadaan) begitu, abang SMS mereka (keluarga angkat atau rakan),” katanya yang menderita penyakit saraf.
Membuktikan kebenaran dakwaan Seri Bayu, pertemuan pada Jumaat lalu itu ditemani keluarga angkatnya yang kebetulan melawatnya.
Pilu melihat keadaan Seri Bayu kerana tubuhnya semakin kurus, tutur katanya sukar difahami dan kerap terbatuk-batuk berikutan paru-parunya dijangkiti kuman.
Untuk bertutur, Seri Bayu perlu meneran dan mengulang apa yang hendak diberitahu supaya butir percakapan dapat difahami. Temubual malam itu dibantu keluarga angkatnya yang lebih memahami butir percakapan Seri Bayu.
Ditanya mengenai keluarganya, Seri Bayu berkata: “Abang tinggalkan keluarga kerana Erema. Terlalu banyak pengorbanan abang untuk dia,”.
Menurut Seri Bayu, Erema yang dikenalinya sejak tujuh tahun lalu banyak berubah selepas dia bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab di Shah Alam, Ramadan lalu.
“Dulu dia (Erema) bagus (sebab) dia jaga abang dengan baik. Dulu dia jujur, tetapi sekarang banyak berbohong dan pandai berlakon depan orang.
“Dia maki...tendang... tolak abang,” katanya.
Seri Bayu berkata dia hanya memberi kebenaran kepada Erema menyanyi untuk tempoh sebulan, tetapi Erema ingkar dan semakin tidak menghormatinya sebagai suami.
Katanya, pada Aidilfitri lalu, dia meminta Erema supaya tidak lagi menyanyi dan disebabkan itu dia mengeluarkan perkataan mengharamkan Erema daripada menyanyi di kelab.
“Erema marah abang buat begitu dan sejak daripada itu abang dipinggirkan. Dia tetap dengan keputusannya (menyanyi di kelab).
“Dia lupa diri. Banyak kali dia cakap ‘kalau kau mampus aku senang’,” katanya yang mengakui mampu menyara kehidupan suami isteri menerusi sumber kewangannya sendiri.
Menurut Seri Bayu, dia yakin isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan orang lain.
“Dia ada lelaki lain sebab setiap malam ada orang menjemputnya. Apa yang abang tahu dia habis kerja jam 2 pagi, tetapi selalu balik jam 5 atau 6 pagi,”
“Kadang-kadang abang terbaring, jam 5 pagi dia sibuk bermain SMS walaupun abang nampak. Dia main SMS sampai jam 6 pagi. Dengan siapa?,” katanya.
Seri Bayu berkata, Erema mengakui dia bosan hidup dengannya dan sudah tidak mempunyai perasaan sayang. Hanya simpati yang membuatkan Erema masih bersamanya.
Katanya, Erema turut mengakui apabila sudah bekerja, dia gembira dan ia adalah sesuatu yang diimpikannya selama ini.
“Saya tetap menyayanginya walaupun diperlakukan sebegini. Saya minta kepadanya, layanlah saya seperti manusia, bukannya seperti haiwan,” katanya.
Menurut Seri Bayu, dia berharap Erema berubah dan melayannya seperti dulu.
“Saya mahu Erema kembali ke pangkal jalan,” katanya berulang kali.
Menyentuh mengenai perceraiannya, Seri Bayu berkata dia tidak sanggup diperlakukan begitu.
“Dulu saya tanya dia, betul ke nak kahwin dengan saya dan dia mengakuinya. Dia kata dia ikhlas menerima saya.
“Sekarang? Kenapa buat begini kepada abang?” katanya yang turut mendakwa Erema membuang cincin perkahwinan mereka..
Dalam pada itu, Seri Bayu terpaksa dikejarkan ke Hospital Serdang, semalam selepas mengadu sesak nafas sekitar jam 3 pagi.
Keluarga angkatnya yang menghubungi ambulans kerana Erema ketika itu tiada di rumah. Erema ketika dihubungi mengakui Seri Bayu dihantar ke hospital, tetapi tidak ditahan.
Kes tuntutan cerai Erema akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya Selangor 1 Disember ini. Penyanyi yang popular dengan lagu Pelita Di Bawah Purnama itu bernikah dengan Seri Bayu pada 19 Disember 2006 di Masjid Danau Desa, Taman Desa, Kuala Lumpur.
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
0 ulasan:
Catat Ulasan