Menurut Liyana, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi dan dia terkejut apabila namanya dipanggil ketika nyenyak tidur sebelum ternampak kelibat dua lembaga dalam keadaan samar dalam biliknya.
Katanya, lebih menakutkan, lehernya diacukan parang dan dua perompak memintanya mengikut mereka sebelum dibawa ke bilik ibunya di tingkat atas kediaman keluarga terbabit.
“Saya terkejut apabila mendengar nama dipanggil seseorang dan dalam keadaan separuh sedar itu saya ternampak dua perompak memegang parang sebelum meletakkannya di leher saya.
“Sebelum itu, kami sekeluarga baru pulang dari malam Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) dan masing-masing keletihan,” katanya.
Menurut Liyana, dia dibawa ke bilik ibunya dan mendapati empat rakan mereka berada di situ.
“Ketika itu, ibu, abang dan dua lagi saudara diikat perompak berkenaan dan meminta kami supaya tidak menjerit serta membuat bising dan mengatakan mereka mahukan wang.
“Mereka kemudian menggeledah bilik dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri,” katanya yang memberitahu mereka sekeluarga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit dalam kejadian itu.
Menurut pelakon berbakat besar itu, dia dapat melihat empat perompak terbabit memakai topeng dan bersenjatakan parang serta sabit.
“Mereka mungkin terdiri daripada wargnegara asing dan juga rakyat tempatan berdasarkan dialog digunakan ketika bercakap.
“Kumpulan perompak terbabit mengambil masa kira-kira 20 minit menggeledah dan melarikan barangan berharga sebelum beredar meninggalkan kami,” katanya lagi.
Menurut Liyana, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga tidak dicederakan perompak, namun hairan perompak terbabit boleh memanggil namanya ketika mengejutkannya dari lena.
0 ulasan:
Catat Ulasan