Pernikahan Rosnah dan Tajul Efendie Isa, 27 itu disahkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak, Ramli Arifin, 49, yang menikahkan pelakon itu di masjid berkenaan.
Menurut Ramli, majlis pernikahan berlangsung pada 13 November lalu pada jam 3.30 petang.
“Saya mengesahkan perkara ini sebab saya yang menikahkannya. Selebihnya kenalah bertanya kepada empunya diri,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Ramli yang juga Imam 2 Masjid Al-Khairiah berkata, dua saksi ialah ahli jawatankuasa masjid berkenaan turut serta dalam majlis itu.
Ketika dihubungi, dua saksi itu, Mat Salleh Ahmad, 60 (Bilal) dan Sulaiman Said, 60 (Bendahari) mengesahkan menjadi saksi pada majlis pernikahan itu.
Bagaimanapun, Rosnah menafikan yang dia melangsungkan pernikahan pada hari itu sebaliknya memberitahu anak perempuannya, Rasnor, yang menikah dengan pasangannya berasal dari Pulau Pinang. Rasnor dan pasangannya dinikahkan di masjid sama pada 30 Oktober lalu.
Ketika dihubungi, Rosnah ketika ini bercuti bersama anak dan cucunya di Port Dickson.
Dalam perbualan menerusi telefon itu, Rosnah menafikan yang dia sudah menikah. Katanya, dia selesa dengan kehidupan sekarang dan gembira dikelilingi empat anak serta lima cucunya.
“Memang benar ada acara pernikahan di Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak tetapi anak perempuan saya, Rasnor, yang menikah. Bukan saya.
“Majlis perkahwinan itu berlangsung pada 30 Oktober lalu. Mei tahun depan anak lelaki saya pula akan berkahwin. Saya ingat hendak buat sekali majlis persandingan dan kenduri kahwin mereka berdua.
“Saya lali dengan gosip mengatakan saya berkahwin lagi. Baru-baru ini anak saya (panggil abang) membawa balik akhbar menyiarkan berita saya berkahwin dengan kerabat Brunei. Anak saya buat lawak, emak dahsyat menikah tak jemput abang,” katanya.
Menurut Rosnah, anak-anaknya cukup faham dengan dengan situasi yang dia lalui sebagai pelakon dan dia sendiri tidak berminat memanjangkan segala khabar angin yang dilemparkan kepadanya, biarpun berita itu berunsur fitnah dan menjatuhkan maruahnya.
“Dua kali berita keluar mengatakan saya berkahwin lagi. Kalau hendak memberontak, sudah lama saya memberontak kerana orang asyik menjatuhkan maruah saya.
“Sejak berpuluh tahun lalu, apa orang tak kata pasal saya. Semua benda saya dah kena. Saya dah bosan melayan gosip macam ini. Hanya Allah yang tahu perkara sebenar,” katanya.
Tambah Rosnah, dia kini lebih mengutamakan masa depan anaknya. Dia mahu melihat mereka mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia.
“Buat masa ini saya tak berani cakap mahu menikah lagi. Hendak kata tak mahu bernikah pun tak juga. Apapun, saya mahu ‘lepaskan’ (selesaikan urusan) anak-anak dulu. Saya ini tak ada suami, jadi saya mesti pastikan anak-anak hidup bahagia dengan keluarga masing-masing,” katanya.
Menurutnya, selepas tamat penggambaran drama Rashid Sibir, Panggilan Ilahi, minggu lalu, anak-anak mengajaknya bercuti di Port Dickson sambil menyambut hari jadi adiknya, Rozita, 40 dan anaknya, Nasrul Azli, 26.
“Saya bangga jadi nenek dan tak kisah cucu panggil nenek. Saya lebih suka jika ada yang hendak buat cerita mengenai saya dengan anak-anak. Kami sekeluarga suka memancing. Kalau tiada aral, bulan depan kami bercadang pergi memancing di Terengganu,” katanya.
Oleh NOR AKMAR SAMUDIN DAN ASMIZAN MOHD SAMIRAN
0 ulasan:
Catat Ulasan