“Macam mana boleh timbul cerita saya baru dapat kereta dihadiahkan Datuk K. Saya tak kenal dan tidak pernah berjumpa dengannya,” kata Rozita Che Wan mengenai gosip terbaru kononnya dia menerima hadiah kereta BMW daripada Datuk Khalid Mohd Jiwa, suami Datuk Siti Nurhaliza Tarudin itu.
Katanya, dia menggunakan kereta BMW tiga siri M Sport warta putih yang dibelinya sendiri dua tahun lalu.
Rozita berkata, dia pernah mendengar cerita terbabit daripada wartawan yang bertanyakan kesahihan gosip liar itu.
“Saya dah pakai kereta itu dua tahun. Kenapa tiba-tiba ada yang dakwa kereta itu dihadiahkan seseorang.
“Saya kesal kenapa masyarakat sering memandang rendah artis. Rasanya artis sekarang dah mampu senang. Kami bekerja siang malam hingga terlupa untuk bercuti. Saya sendiri tidak henti bekerja mencari rezeki.
“Itu satu-satunya kereta saya. Macam mana orang boleh kata saya pakai kereta baru. Jangan ingat hidup artis ini susah sangat. Baru-baru ini saya dilantik duta produk kecantikan Loreal selama tiga tahun. Walaupun tidak terlalu kaya, tetapi saya mampu menyara hidup saya dan anak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut pelakon itu, dia tidak boleh menutup mulut orang, tetapi minta berhenti menuduhnya yang bukan-bukan.
“Saya terkilan dengan tuduhan itu, tetapi hendak buat macam mana,” katanya yang tidak faham kenapa dirinya selalu dikaitkan dengan suami orang.
Katanya, dia perlu diberikan ruang berkenalan dengan sesiapa saja, tetapi bukan lelaki yang sudah berkahwin.
“Asyik-asyik dikaitkan dengan suami orang. Saya tak pernah kenal dan tidak pernah jumpa pun Datuk K.
“Sekarang usia saya sudah mencecah 35 tahun. Sudah tiada cinta dalam hati dan tidak terfikir untuk berkahwin lagi. Dulu ada juga bercadang hendak kahwin, tetapi sebelum berumur 35 tahun. Maknanya usia untuk saya berkahwin lagi sudah terlepas,” katanya.
Ketika gosip itu bertiup kencang, jelas Rozita, adiknya sendiri menerima panggilan telefon daripada kawan bertanya sama ada gosip itu berasas atau sebaliknya.
“Dia jawab itu semua tidak benar kerana dia sendiri pergi bayar wang pendahuluan kereta BMW terbabit. Jadi bila masa pula kereta itu dihadiahkan orang,” katanya.
Bagi mendapatkan reaksi Datuk K, wartawan Harian Metro turut menghubungi mereka.
Datuk K dengan tegas menafikan dia mengenali Rozita, tetapi enggan memberi kenyataan lanjut kerana bimbang disalahertikan.
Lalu, dia memberi telefon bimbitnya kepada Siti yang berada di sebelahnya.
Bagi menjelaskan isu itu, kata Siti, biar apa orang hendak kata.
“Orang di luar seronok buat cerita bukan-bukan. Saya dah malas melayan gosip mengenai rumahtangga kami. Kepada mereka yang suka membuat cerita mengarut itu minta ampun dengan Tuhan. Datang jumpa kami minta maaf.
“Mereka yang buat cerita merepek itu tanggung dosa. Agaknya mereka panas bila tengok kami bahagia. Saya juga berharap peminat jangan percaya jika cerita itu bukan keluar daripada mulut saya sendiri,” katanya yang baru balik dari Korea Selatan bersama suami dan dua kakitangannya.
Siti berkata, dia tidak mahu mengulas panjang sebarang gosip supaya tidak menjadi bertambah besar.
Dia lebih suka mengambil sikap berdiam diri kerana lama kelamaan hilang begitu saja.
Oleh Nor Akmar Samudin
0 ulasan:
Catat Ulasan