“Saya harap insiden ini menjadi pengajaran berguna bagi dirinya (Bell) dan belajar daripada kesilapan yang dilakukan kerana rumah tangga kami tidak pernah menghadapi masalah,” kata Nur Farhana Mahamd Fauri, 26, bekas isteri pelakon Ngasrizal Ngasri, 29 atau lebih dikenali dengan panggilan Bell.

Katanya, dia menerima apa yang berlaku sebagai dugaan untuk menguji kekuatan rumah tangga mereka yang baru mencecah dua tahun sambil mengakui masih cinta dan sayangkan bekas suaminya itu.

“Kami bercinta selama lima tahun dan mendirikan rumah tangga tahun lalu, semua yang berlaku di luar jangkaan dan saya menerima dengan hati yang tenang.

“Saya akui masih sayangkan dia dan sedikit pun tidak terguris dengan apa yang berlaku,” katanya.


Katanya, dia bersedia rujuk kembali bersama bekas suaminya itu kerana perkara terbabit sudah dibincangkan sambil menganggap masalah dihadapi tidak kritikal.

“Saya sudah membincangkan perkara itu bersama Bell dan segalanya kini bergantung kepada keputusannya,” katanya.

Menurutnya, dia dan Bell sebenarnya masih sayangkan rumah tangga mereka dan bersedia melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan hubungan cinta yang sudah sekian lama terpahat di hati masing-masing.

Katanya, hubungannya dengan Bell masih seperti biasa walaupun mahkamah memutuskan mereka sudah bercerai seperti dilaporkan media, semalam.

“Tidak ada sengketa antara kami dan hubungan kami masih seperti sebelum ini cuma tidak tinggal sebumbung.

“Dia masih menelefon saya dan bertanyakan anak kami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nur Farhana yang kini berada di rumah ibunya berkata, dia sedikit pun tidak memendam perasaan kecewa terhadap apa yang berlaku.

“Masa terima SMS (cerai) daripada dia tempoh hari saya hanya memikirkan mengenai status dan hukum agama, tidak sedikit pun rasa kecewa.

“Berikutan ia membabitkan soal agama, saya terpaksa membawa perkara ini ke ‘tengah’,”katanya.

Katanya, dia kini hanya menunggu jawapan daripada Bell berhubung perancangan mereka untuk kembali hidup bersama selepas episod duka melanda rumah tangga mereka.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan mahkamah mengesahkan perceraian mereka yang dilakukan Bell melalui SMS dengan talak satu.

Sejurus selepas keputusan itu, Bell mengumumkan akan rujuk kembali bersama isterinya kerana menganggap perceraian mereka berlaku kerana salah faham.

Pasangan ini diijab kabul pada 30 Mac tahun lalu di Masjid Al Khairyah, Taman Sri Gombak dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Nasfazril Nasrizal yang kini berusia tujuh bulan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top