7 musim bersiaran memperlihatkan populariti program realiti, AkademiFantasia (AF) masih utuh meskipun ia mulai merosot dari segi sambutan serta pelbagai kritikan dilemparkan.

Tatkala persoalan mengenai kualiti serta prestasi peserta program realiti berbentuk nyanyian dilihat semakin menyusut hingga mendesak stesen televisyen menghentikan program popularnya, Astro tetap meneruskan cabaran itu.

Edisi terbaru AF mendedahkan produksi Astro kepada pelbagai topik yang menyesakkan dada, terutama berkaitan mutu produksinya yang sentiasa hangat diperdebatkan.

Elemen kejutan yang cuba ditampilkan setiap minggu tidak lagi menjadi tarikan utama, malah sajian 'drama' setiap pesertanya bagaikan sebuah lakonan yang sudah boleh diduga.

Lantas AF8 yang bakal membuka lembaran barunya bermula 13 Mac ini menuntut tenaga produksi Astro Ria supaya menyuntik pelbagai pembaharuan, seterusnya memastikan program realiti popular itu kekal relevan kepada penonton tempatan. Peminat barangkali sudah jelak untuk menonton drama yang secara sengaja dibuat-buat, gimik yang entah apa-apa atau tidak sengaja dicipta. AF8 harus kembali kepada asas pencarian bakat yang menekankan aspek kualiti sebagai paksi menggerakkan program seumpamanya.

Sudah terlalu lama industri hiburan dimomokkan dengan paparan fantasi segala keseronokan dan populariti yang diraih kesan menyertai program realiti itu. Tiba masanya AF8 membawa pembaharuan dengan menjenguk realiti serta kepayahan seseorang anak seni bertatih mencipta nama sebelum bakat mereka diakui dan dihargai peminat.

Usaha besar Astro itu bagaimanapun tidak bersendirian kerana mereka disertai barisan tenaga pengajar yang diterajui Norman Abdul Halim atau Norman KRU sebagai pengetua untuk membawa AF8 ke satu fasa baru.

Komposer, penyanyi, produser dan usahawan itu sebenarnya menggalas cabaran besar untuk meyakinkan peminat seni AF8 bakal memberikan dimensi baru kepada industri hiburan.

Seperti kata Norman pada sidang media memperkenalkan tenaga pengajar AF8, Selasa lalu, mereka cuma mampu membimbing namun sama ada berjaya atau tidak terpulang kepada usaha pelajar itu sendiri. Dia akui menerima tanggungjawab itu kerana Astro menjanjikan pasukan kerja terbaik membabitkan mereka yang berpengalaman dari pelbagai latar seni.

AF8 yang bersiaran di Astro Ria menyaksikan penyatuan semula tenaga pengajar berpengalaman seperti Siti Hajar (guru vokal teknikal), Linda Jasmine (guru tari), Adnan Abu Hassan (guru vokal persembahan) dan Fatimah Abu Bakar (kaunselor dan guru Bahasa Inggeris).

Turut menyertai AF8 ialah pelakon muda berbakat, Que Haidar sebagai jurulatih drama manakala Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley bersatu di pentas konsert mingguan.

Pemilihan Que sebagai jurulatih drama barangkali memberikan sedikit kejutan berbanding tenaga pengajar terdahulu seperti Fauziah Nawi dan Marlia Musa yang jauh berpengalaman serta berpengetahuan luas.

Bagaimanapun, tidak adil untuk menafikan kelebihan Que kerana lulusan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berjaya membuktikan reputasinya sebagai anak seni berkaliber.

Kehebatan Que sebagai pelakon meraih pengiktirafan Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia ke19 (FFM19);

Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik, Anugerah Skrin 2008 (ASK2008), Pelakon Lelaki TV Terbaik (ASK 2009) dan Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Selain menemukan dua pengacara berpengalaman, Sarimah dan Jimmy sebagai peneraju konsert mingguan, AF8 turut membawa pembaharuan dalam undian penyingkiran peserta.

Penyingkiran tidak lagi dilakukan pada akhir konsert seperti kebiasaan, sebaliknya penonton diberi masa untuk memilih peserta kegemaran sebelum pelajar yang meraih undian terendah diumumkan tersingkir pada siaran langsung Debaran AF8 setiap Ahad.

Mengulas rasional melakukan perubahan format pengundian, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, berkata keputusan untuk memisahkan kandungan rancangan kepada dua bahagian penting diharap memberi impak besar dalam melahirkan bintang AF yang berkualiti.

"Peluang yang diberikan Astro itu memberi ruang kepada penonton untuk membuat penilaian yang bijak serta tidak menjadikan peserta berkualiti sebagai mangsa penyingkiran disebabkan kesuntukan masa undian," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top