Bukan saja media, bahkan penggiat industri hiburan serta peminat seni mula meramal satu demi satu nama personaliti yang akan mengisi jawatan tertinggi dalam akademi seni itu.
Paling menjadi tumpuan sudah semestinya jawatan pengetua dan pengacara program yang saban tahun menjadi kerusi panas.
Jawatan pengetua AF misalnya bukan satu posisi yang mudah untuk diduduki kerana untuk menjawat jawatan tersebut, ia memerlukan komitmen cukup tinggi.
Sebelum ini, dalam tujuh musim AF, mereka yang mengemudi program itu terdiri daripada penggiat seni yang berpengalaman luas.
Selain itu, sebagai pengetua, calon yang dipilih itu harus tahu bagaimana hendak mencorak barisan pimpinannya dalam mencungkil bakat baru untuk menjadi seorang artis dan penghibur.
Andai silap percaturan tanpa pengurusan serta hala tuju yang tepat, silap hari bulan akan teruk dihentam dan dikritik.
Masakan tidak, sejarah tujuh musim AF sebelum ini sudah membuktikannya.
Kesemua tujuh tokoh yang sudah menduduki kerusi pengetua AF sebelum ini bermula musim pertama ialah Datuk Freddie Fernandez (2003), Ramli M. S (2004), M. Nasir (2005) dan Ramli Sarip (2006).
Program realiti itu turut diterajui oleh Roslan Aziz (2007), Ramli M.S (2008) dan Datin Seri Tiara Jacquelina (2009).
Kesemua mereka sudah mencorakkan AF berteraskan pengalaman, pengetahuan selain memenuhi tuntutan khalayak seni.
Kini, apabila Astro mengumumkan AF musim kelapan bakal diterbitkan, ia membuatkan ramai yang sudah tidak sabar untuk mengetahui jawatan pengetua program itu.
Biarpun pengumuman rasmi pengetua AF8 hanya akan dibuat malam esok (9 Februari) namun sudah ada beberapa nama yang diperkatakan akan menduduki kerusi itu.
Kepada Astro kami cuba mengorek rahsia namun seperti tahun-tahun sebelum ini mereka lebih senang untuk menjawabnya pada sidang media.
Kalau begitu apa kata kita sama-sama meramalkan siapakah personaliti yang sewajarnya diberi tempat untuk menduduki kerusi nombor satu AF musim kelapan ini.
Senarai nama yang dibuat ini bukanlah pilihan peribadi penulis sebaliknya, ramalan dibuat berdasarkan perbualan Hits dengan beberapa tokoh industri penyiaran serta karyawan seni yang enggan nama mereka disiarkan.
Hasilnya kami memperoleh tiga nama yang dicadangkan iaitu Norman Abdul Halim, Anita Sarawak dan Aznil Nawawi.
NORMAN ABDUL HALIM
Inilah satu-satunya nama yang hangat diperkatakan untuk memegang jawatan pengetua AF8. Khabarnya, nama Norman hampir pasti akan diumumkan malam esok.
Norman yang juga Presiden KRU Studios sebetulnya sudah lama menjadi perhatian Astro.
Pada musim lepas, dia pernah ditawarkan peluang yang sama, namun tidak dapat memberikan komitmen lantaran sibuk memberi tumpuan pada syarikatnya.
Adakah tahun ini Norman sudah bersedia untuk menumpukan perhatian kepada AF8 jika namanya terpilih sebagai pengetua?
Melihat kepada rekod dan prestasi Norman sebelum ini, barangkali tiada apa yang perlu dipertikaikan.
Bermula sebagai seorang komposer dan penyanyi yang menganggotai kumpulan KRU, penangan dan fenomena yang tercetus oleh KRU tidak perlu disangkal lagi.
Lagu-lagu mereka menjadi siulan dan mencatatkan penjualan album sehingga mencecah ratusan ribu unit sewaktu di zaman kegemilangan mereka.
Sentuhan KRU untuk artis lain juga tidak kurang hebatnya dan semua itu dapat dilihat apabila munculnya kumpulan dan artis seperti Feminin, Elite, Indigo dan X-Factor.
Malah, penglibatan KRU untuk bekas pelajar AF seperti Adam dan Dafi juga telah mencipta kejayaan yang membanggakan apabila muzik mereka diterima dengan baik oleh generasi muda.
Norman juga mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan kerjaya seni artis dan semua ini sudah dibuktikan menerusi kejayaan syarikat rakaman, KRU Records yang diasaskannya bersama dua adiknya.
Justeru, jika Norman dipilih sebagai pengetua, semua pihak tentu yakin dia mampu melakukan tugas yang baik. Kalau betul nama Norman diumumkan, kami tumpang gembira.
ANITA SARAWAK
Satu lagi nama yang cukup menarik untuk dikaitkan dengan AF.
Apa salahnya jika jawatan pengetua AF8 diberikan kepada Anita Sarawak?
Itulah persoalan yang dicetuskan oleh beberapa penggiat industri hiburan.
Berpengalaman lebih empat dekad dalam perniagaan hiburan serta pernah diangkat sebagai penghibur yang bertaraf antarabangsa, jika diukur dari aspek pengalaman, Anita sememang layak untuk mengemudi AF8.
Industri hiburan tanah air sebetulnya juga ketandusan tokoh-tokoh yang mahir dalam aspek pembinaan karakter yang menarik di pentas dan hubungan atau komunikasi yang baik dengan audiens.
Anita merupakan penghibur yang memiliki kelebihan itu.
Sebagai rekod, penghibur itu juga pernah mencurahkan ilmu sebagai salah seorang tenaga pengajar AF6.
Siapa tahu peluang dibuka kepada Anita untuk terus mendidik dan membimbing anak muda menjadi seorang penghibur yang disegani.
AZNIL NAWAWI
Andai Astro mahu Akademi Fantasia menjadi sebuah program yang segar, dinamik dan muda, meletakkan Aznil Nawawi di kerusi pengetua memungkinkan senario itu berlaku.
Umum mengetahui, Aznil berjiwa muda. Kreativitinya tidak perlu disangkal lagi.
Letaklah dia di mana saja, Aznil mampu mencipta 'keajaiban'.
Personaliti yang berusia pertengahan 40-an ini juga berpengalaman luas dalam industri penyiaran.
Ketika menjadi pengacara AF untuk lima musim sebelum ini, Aznil merupakan antara faktor kenapa program itu mahu ditonton ramai.
Jangan dilupa, dia juga seorang personaliti yang sangat mesra kamera serta bijak mengendalikan situasi tegang.
Kredibiliti dan pengaruh Aznil tidak perlu dipertikaikan lagi.
Siapa ganti AC Mizal?
BUKAN saja jawatan pengetua AF yang menjadi perbualan, ketika ini kedudukan pengacara program itu juga menjadi tanda tanya.
Selepas pengacara AF dua musim terdahulu, AC Mizal mengumumkan tidak mahu menyambung tugasnya dengan program itu, maka nama-nama lain mula disebut.
Andai kata Aznil tidak terpilih sebagai pengetua, adakah kerusi pengacara akan kembali beralih kepadanya selepas AC Mizal?
Menarik bukan persoalan yang ditimbulkan itu?
Soalnya apakah Aznil berminat untuk kembali ke pentas AF selepas lima musim menjayakannya dengan cemerlang?
Aznil dan AF memang sinonim kerana selama lima musim dia mengendalikan AF, semua pihak menyenangi caranya.
Malah, namanya kembali berada di puncak juga adalah kerana pengaruh AF sehingga meletakkannya sebagai pengacara nombor satu negara.
Ramai yang merindui keletah dan gelagat Aznil sewaktu mengendalikan konsert AF dan siapa tahu, jika dia kembali ke pentas AF, rating AF akan kembali mencanak naik.
Pada masa yang sama, nama Sarimah Ibrahim juga antara yang disebut-sebut akan meneruskan tugasnya sebagai pengacara.
Tetapi, persoalannya kini, adakah dia akan kembali mengendalikan Diari AF sahaja atau mungkinkah untuk kedua-dua Diari dan konsert mingguan sekali?
Khabar angin juga bertiup kencang apabila ada yang mengatakan konsert mingguan untuk musim ini akan dikendalikan oleh dua pengacara.
Jika Sarimah adalah salah seorang daripadanya, siapa pula yang akan digandingkan dengan dirinya?
Adakah yang berganding dengan Sarimah nanti muka baru atau lama? Mana tahu mungkin peluang itu diberikan kepada Reza Mohammad yang semakin diakui bakatnya sebagai seorang pengacara.
Tetapi, kalau peluang itu diberikan kepada Jimmy Shanley yang cukup terkenal sebagai hos Trek Selebriti di Astro Ria, adakah Astro benar-benar yakin dengan percaturan mereka?
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
0 ulasan:
Catat Ulasan