AKADEMI Fantasia musim lapan (AF8) kembali bersiaran pada Mac ini di Astro Ria.
Menampilkan Norman Abdul Halim (Norman Kru) sebagai pengetuanya, dia dibantu barisan tenaga pengajar yang mantap dan berpengalaman.

Mereka adalah Siti Hajar Ismail (guru vokal teknikal), Linda Jasmine (guru tari), Adnan Abu Hassan (guru vokal persembahan), Fatimah Abu Bakar (kaunselor dan guru bahasa Inggeris) dan Que Haidar (jurulatih drama). Manakala Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley berganding bahu mengacarakan konsert minggu program realiti itu. Semua wajah itu memang tidak asing lagi kepada penonton program realiti nombor satu itu kecuali Que yang kali pertama dijemput menjadi ahli keluarga AF. Ini juga bukan sesuatu yang menghairankan kerana isterinya sudah lama menerajui AF.


Que berkata dia sangat terkejut apabila menerima tawaran daripada Astro. Katanya, Linda dapat tawaran sebagai guru tari kemudian barulah dia dapat. "Linda pun terkejut, tetapi kami gembira dengan tawaran itu. Saya masih muda, tetapi bukan orang baru dalam bidang seni. "Saya mula berlakon pada 1997 dan ketika saya menonton AF musim lalu, saya teringin mencurahkan pengalaman saya kepada pelajar. "Ketika saya melihat kak Fauziah Nawi dan kak Fatimah mengajar pelajar sambil menonton di televisyen, saya pun belajar sama, apa yang boleh dan tidak boleh dibuat untuk memantapkan lagi lakonan. "Terfikir juga kenapa Astro tidak pernah jemput saya untuk bersama mencurahkan ilmu kepada pelajar itu. "Akhirnya impian itu menjadi kenyataan juga tahun ini. Tawaran ini penghargaan besar untuk saya kerana selain dapat berkongsi ilmu dengan pelajar, dapat berganding bahu dengan mereka yang sangat bagus dalam bidang masing-masing seperti Adnan dan Siti Hajar. "Semua ini pengalaman baru bagi saya. Meskipun kelas belum bermula terdetik di hati, saya boleh menjadi guru yang baik kepada pelajar. "Sebenarnya sejak empat bulan lalu saya mengajar seni lakon di Linda Jasmine Studio. Adalah sedikit pengalaman berhadapan dengan pelajar. "Bagaimanapun ada sedikit gementar kerana belum pernah bekerja bersama isteri sendiri. Pun begitu, apabila menonton sesebuah persembahan kami selalu berkongsi pendapat sama. Insya-Allah kami akan lebih profesional apabila bekerja bersama nanti," katanya.


Jimmy juga menganggap tawaran itu membawa perubahan besar dalam hidupnya meskipun sudah mencipta nama menerusi program Trek Selebriti (TS) selama enam tahun. Sayang meninggalkan program yang begitu sinonim dengannya namun tawaran untuk bersama AF tidak mampu ditolak.

"Sekarang produksi TS sedang mencari pengacara untuk mengemudi program itu. Mungkin akan diambil alih bekas pelajar AF juga. "Untuk AF8 ini saya akan melakukan yang terbaik dan tiada siapa akan membayangi siapa. Saya sudah kenal lama dengan Sarimah sejak 2006. Saya juga yang perkenalkannya kepada pasukan kerja AF.

"Sebelum ini pun saya sudah terbabit secara tidak langsung dengan AF apabila menjemput bekas pelajar AF menjayakan TS. Saya juga berada di lokasi uji bakat AF jadi program ini bukanlah asing dengan saya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Amirullah pada sidang akhbar pengumuman AF8 di Hotel Hilton, KL Sentral, pilihan pengetua akademi itu mereka yang berpengalaman dan berpengaruh dalam dunia hiburan tanah air serta mereka yang boleh membimbing pelajar AF dalam bidang hiburan.

"Pengetua juga mesti seorang yang berkaliber untuk mengetuai barisan tenaga pengajar. AF adalah program realiti yang tanpa skrip dan tanpa formula tertentu pada mulanya. "Oleh itu pengetua bertangggungjawab menentukan hala tuju AF dan semestinya tanggungjawab itu agak berat namun dengan pengalaman yang ada, saya yakin Norman mampu melakukannya," katanya.

Tambah Zainir, sudah tujuh tahun bersiaran, justeru, AF8 akan diberi sentuhan dan beberapa kelainan untuk menjadikanya lebih segar dan menarik agar terus bertahan sebagai program realiti nombor satu negara.

"Sepanjang tahun Astro berjaya menghidangkan program terbaik seperti Jangan Lupa Lirik dan Sehati Berdansa. Jadi bagi mengekalkan kedudukan AF untuk berada pada anak tangga teratas, banyak perubahan dilakukan kali ini terutama kerja di belakang tabir," katanya.

Norman pula berkata, dia akan menggunakan segala pengalamannya dalam dunia hiburan untuk membentuk dan membimbing mereka menjadi anak seni yang berjaya pada masa depan. "Saya berharap AF bukan saja menghiburkan penonton, tetapi menyediakan landasan yang betul untuk pelajar terus mengorak langkah dalam bidang seni selepas keluar dari akademi nanti," katanya.

Sarimah dan Jimmy menjadi pengacara bersama untuk konsert mingguan.

Jimmy juga akan mengacarakan Diari AF memaparkan perkembangan pembelajaran pelajar AF8 di bawah bimbingan tenaga pengajar dan rutin kehidupan seharian mereka di akademi. Membuka tirai pada 13 Mac ini, jam 9 malam, akan disiarkan konsert pengenalan memperkenalkan pelajar AF8 yang diacarakan Sarimah dan Jimmy. Pada 15 Mac pula paparan Diari AF, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.30 malam, dikendalikan Jimmy.

Seperti biasa konsert mingguan AF8 pada Sabtu, jam 9 malam namun kelainan pada musim ini apabila keputusan pelajar yang tersingkir diumumkan secara langsung pada Ahad, jam 9 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top