Bukan niat saya mahu mengaib atau membuka pekung tapi sekadar ingin membetulkan kenyataan bahawa tidak akan ada majlis persandingan di rumah saya kerana perkahwinan itu tidak pernah mendapat restu saya,” kata Jamaliah Hasan, ibu kepada isteri penyanyi popular era 80-an, Shidee yang bersanding, Sabtu lalu.

Jamaliah, 47, berkata sejak berita majlis perkahwinan Shidee atau nama sebenar, Rashid Abdul Wahab, 51, dengan anak bongsunya, Siti Fairunnisa Aziz, 22, disiarkan Harian Metro, ramai rakan bertanya mengenainya kerana sebelum ini dia dilihat intim dengan penyanyi itu.

“Saya langsung tak marah atau terkilan apabila dia berkahwin dengan anak saya, malah hati saya sudah tertutup selepas mengetahui siapa sebenarnya Shidee. Dia bukan lelaki yang boleh menjadi suami yang baik. “Sebelum ini memang hubungan kami akrab, malah saya yang banyak membantu serta menyokong dia terutama dari segi kewangan. Dia juga pernah mengakui keluarga saya umpama keluarganya sendiri dan mahu menjadi ketua keluarga kami (dengan mengahwini Jamaliah),” kata ibu tunggal itu ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengenali Shidee sejak empat tahun lalu menerusi Kelab Pendengar Radio Malaysia dan pada mulanya, penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat itu dilihat mahu membimbing keluarganya.

“Dia membimbing tiga anak saya solat dan mengaji al-Quran, malah anak saya memanggilnya dengan nama ‘papa’ atau ‘uncle’. Dia juga pernah menumpang di rumah saya di Bukit Beruntung dan membantu saya menjalankan beberapa perniagaan.

“Bagaimanapun, selepas perniagaan saya lingkup gara-gara tabiat judinya, saya mula rimas ditambah pula dengan hubungan ‘lain macam’ dia dengan Fairunnisa terutama selepas anak bongsu saya itu menyambut hari jadi ke-22 pada September lalu,” dakwanya.

Tidak suka dengan perubahan sikap Shidee yang terlalu mengawal kehidupannya sekeluarga, Jamilah berkata, dia mengambil keputusan membawa tiga anaknya berpindah ke Bandar Tun Razak, di sini, sejak 10 Disember lalu, kerana tidak mahu ada kaitan lagi dengan penyanyi berkenaan.

“Bagaimanapun, Fairunnisa keluar dari rumah sehelai sepinggang pada 21 Januari lalu tanpa pengetahuan saya atau abang dan kakaknya untuk bertemu dan seterusnya berkahwin dengan Shidee.

“Ibu mana tidak terkilan apabila anak yang disayangi berkahwin tanpa pengetahuannya, tidak ada rombongan merisik atau majlis peminangan, malah hanya dimaklumkan dua hari sebelum bernikah. Itupun saya mendapat kata dua daripada seorang rakan Shidee bahawa saya tiada hak menghalang pernikahan itu,” katanya yang membuat tiga laporan polis sebelum menerima kata dua itu berhubung kehilangan Fairunnisa.

Ibu tunggal itu turut mempersoalkan bagaimana Shidee yang tidak bekerja dan sebelum ini hanya mengharapkan wang daripadanya mahu menyara keluarga.

“Harapan saya ialah meminta dia menjaga anak saya dengan baik dan kalau ada apa-apa (masalah), jangan harap (bantuan) saya,” katanya.

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Md Fuzi Abd Lateh

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top