Akademi FantasiaImage via Wikipedia



Segala spekulasi dan teka-teki tentang individu yang akan mengepalai Akademi Fantasia kelapan (AF8) sudah terjawab. Malam Selasa lalu bertempat di Hotel Hilton, KL Sentral, Kuala Lumpur, Astro secara rasminya mengumumkan pelantikan Norman Abdul Halim sebagai Pengetua AF8.

Barangkali pemilihan itu tidak terlalu mengejutkan kerana sebelum ini sudah ramai yang meramalkan Norman layak menggalas tanggungjawab berkenaan.

Jika diukur pada kredibiliti Norman selama 18 tahun berkecimpung dalam bidang seni dan perniagaan, tiada siapa yang boleh menpertikai keputusan pemilihan itu.

Lihat sahaja bagaimana dia mencungkil bakat-bakat baru sebelum ini hingga berjaya mencipta populariti dan kemasyhuran menerusi lagu-lagu ciptaan Norman dan dua adiknya, Yusry dan Edry.

Maka itu, peminat setia AF dan masyarakat kini mengambil sikap tunggu dan lihat adakah formula itu akan diguna pakai untuk musim ini dalam membentuk penghibur yang disegani.

Namun, apa yang pasti kata Norman, dia berharap agar masyarakat tidak membanding-bandingkan dirinya dengan bekas pengetua AF yang lain.

Baginya, setiap pengetua memiliki cara dan pendekatan yang berbeza.

"Memang itu yang saya mahu lakukan kali ini iaitu mengesan bakat-bakat yang memiliki identiti muzik sendiri kerana mahu mengelak mereka terumbang-umbing selepas keluar AF .

"Di sinilah terletaknya tugas saya dan barisan tenaga pengajar lain untuk membentuk mereka agar tahu apa yang mereka harus lakukan.

"Pada saya AF merupakan platform terbaik dalam mencungkil serta membentuk bakat baru dalam menjadi seorang penghibur," kata Norman bersungguh pada sidang akhbar itu.

Sebelum Norman, AF pernah diterajui oleh enam individu berkaliber bermula dengan Datuk Freddie Fernandez untuk AF1, Ramli M.S. (AF2), M. Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).

Kemudian, Ramli M.S. dipilih sekali lagi sebagai pengetua untuk musim keenam dan tahun lalu, Datin Seri Tiara Jacquelina memecah dominasi apabila menjadi wanita pertama yang menduduki kerusi panas itu.

Turut hadir pada majlis pengumuman itu ialah Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd, Zainir Aminullah dan Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.

Pada sidang akhbar itu juga, Astro turut mengumumkan barisan tenaga pengajar AF8 yang rata-ratanya merupakan mereka yang cukup sinonim dengan rancangan realiti itu.

Mereka ialah Fatimah Abu Bakar yang menggalas tanggungjawab sebagai kaunselor dan guru Bahasa Inggeris, Adnan Abu Hassan (guru vokal persembahan dan pengarah muzik), Linda Jasmine (guru tari) serta Siti Hajar Ismail (guru vokal teknikal).

Demi menampilkan perubahan untuk musim ini, Astro dengan beraninya membuat percaturan apabila memperkenalkan Que Haidar sebagai jurulatih drama.

Pemilihan Que itu merupakan satu rekod dalam sejarah penerbitan AF apabila buat pertama kalinya Astro mengambil artis lelaki sebagai jurulatih drama.

Sebelum ini, jawatan itu dipegang oleh wanita seperti Fauziah Nawi, Marlia Musa dan Ida Nerina.

Menyambung bicara, Norman memberitahu, dia bersetuju untuk menerima tawaran Astro sebagai Pengetua AF8 selepas dijanjikan akan diberikan pasukan yang mantap.

"Saya percaya dan yakin dengan kredibiliti semua tenaga pengajar yang mampu memberikan sesuatu yang baru untuk musim ini.

"Apa yang pasti, saya dan pasukan saya akan melakukan sehabis baik serta meneruskan perjuangan kami sehingga ke garisan penamat.

"Kerana bukan sifat saya untuk melakukan sesuatu perkara sekerat jalan. Apabila saya sudah memulakan sesuatu tugas, saya akan teruskan sampai habis," ujar usahawan berusia 37 tahun yang sudah mengosongkan jadualnya untuk menumpukan fokus dan perhatian kepada tugas barunya itu.

Pada masa yang sama, Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios itu meletakkan sasaran untuk pelajar kelahiran AF8 dapat bertahan dalam industri sekurang-kurang tiga hingga lima tahun.

Tetapi katanya, jika pelajar berkenaan terus belajar dan memiliki disiplin yang tinggi, tidak mustahil untuk mereka terus bertahan dalam tempoh yang lama.

Paling utama juga ujar Norman, semua pihak harus sedar dan faham agak mustahil untuk melahirkan penghibur serba boleh dalam masa tiga bulan sahaja.

"Tugas kami di AF8 adalah untuk mencurahkan ilmu kepada mereka kerana peluang sebegini memang sukar sekali untuk diperoleh.

"Dalam konteks ini, saya suka sekali mengambil contoh American Idol dan melihat bagaimana rancangan itu membangunkan bakat peserta mereka.

"Insya-Allah, kita akan dapat melihat hasilnya di penghujungnya nanti dan daripada situ, kita akan melihat perancangan seterusnya selepas itu," katanya yang juga akan terlibat dengan pemilihan pelajar AF8 yang akan diumumkan pada 9 Mac ini.

Bukan itu sahaja, Norman turut memberitahu, dia sudah melihat kemampuan beberapa bakat yang berpotensi dalam industri menerusi beberapa siri uji bakat yang dijalankan sebelum ini.

"Sudah pasti, kami juga mahukan bakat yang mampu melahirkan muzik serta mencipta lagu mereka sendiri," jelasnya penuh harapan.

Sementara itu, Zainir memberitahu, Astro optimis dengan karisma Norman untuk mengetuai akademi seni itu.

Apatah lagi dengan trek rekod cemerlang Norman menerajui syarikatnya selain membentuk identiti muzik artis-artis naungan KRU sebelum ini membuatkan mereka yakin Norman akan merealisasikan wawasannya untuk AF8.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top