Gadis Melayu musim ketiga



Gadis Melayu musim ketiga memperkenalkan kelainan dengan memansuhkan sesi penyingkiran.

“Selalunya di dalam mana-mana konsep program realiti, yang paling lemah akan tersingkir. Tetapi dalam Gadis Melayu musim terbaru kali ini, TV9 berasakan mahu berbuat sebaliknya. Kami akan memilih peserta terbaik mingguan. Ganjaran yang akan mereka dapat apabila dipilih sebagai peserta terbaik mingguan ialah muncul di dalam program bual bicara Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada keesokan harinya.

“Kami membuat keputusan untuk tidak mengadakan penyingkiran kerana mahu mengasah lagi personaliti serta mencari jati diri mereka. Kami ingin memberi mereka peluang supaya mereka lebih menonjol. Selain itu, kami juga mahu mereka menimba ilmu secukupnya. Jika ada penyingkiran, mereka tidak sempat menimba sebarang ilmu.

“Memang mereka masih banyak kekurangan kerana mereka permata yang belum digilap. Bayangkan ada di antaranya masih menuntut di tingkatan enam, jadi mereka masih tidak ada keyakinan diri. Mereka memang belum bersedia untuk menjadi ikon lagi tetapi inilah gunanya program ini. Melalui program ini mereka akan mempelajari banyak perkara melalui kelas-kelas yang akan dianjurkan seperti kelas pakaian, tatarias dan di akhir program ini kita dapat melihat perubahan mereka,” katanya.

Selain memperkenalkan kelainan dengan tiadanya penyingkiran, Gadis Melayu musim ini juga hanya memperkenalkan sembilan peserta saja sebagai simbolik kepada stesen itu sendiri iaitu sembilan.

Musim ini juga, Gadis Melayu menampilkan Ashraf Muslim sebagai perantara.
Tambah Wan Sabariah lagi, rupa paras lelaki Melayu tampan yang dimiliki Ashraf amat bersesuaian dengan program ini. Katanya, setiap musim Gadis Melayu sentiasa menampilkan wajah lebih segar dan menarik sebagai kelainan.

Sementara itu, sembilan gadis bertuah yang terpilih menyertai musim ini dipilih daripada 500 peserta yang diuji bakat di lima buah lokasi iaitu Sungai Petani, Johor Bahru, Kota Bharu, Shah Alam dan Sri Pentas yang diadakan pada April dan Mei lalu.

Kebanyakannya yang berjaya menafikan penyertaan mereka di dalam Gadis Melayu untuk mengejar glamor. Penyertaan mereka lebih kepada mahu menimba ilmu di dalam bidang pengacaraan seterusnya mencipta nama di dalam bidang penyiaran.

or Shamimi atau Mimi, yang memiliki perusahaan kain dan tudung berkata, dia memang mengimpikan gelaran juara apabila terpilih dalam program ini. Gadis kelahiran Alor Star itu bukan meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi keyakinan yang diiringi dengan usaha bersungguh-sungguh katanya pasti akan membuahkan hasil.

Bagaimanapun mengakui dia mempunyai kekurangan kerana penggunaan dialek Kedah yang pekat sedikit sebanyak menjejaskan gaya penyampaiannya. Namun, peserta itu yang pernah mencuba nasib di dalam pertandingan Dewi Remaja berkata, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah gayanya berkomunikasi.

“Saya sedang berlatih untuk bertutur seperti biasa. Insya Allah jika ada rezeki menjadi juara dan seterusnya mendapat tawaran sebagai pengacara, saya akan ubah sedikit demi sedikit gaya perbualan. Saya menyertai Gadis Melayu bukan untuk mengejar populariti, tetapi saya memang berminat untuk menjadi seorang pengacara,” katanya.

Bagi Norhidayah Samsudin pula, minat sebenarnya adalah penyanyi, malah dia juga pernah mencuba nasib di dalam program realiti Akademi Fantasia tiga tahun lalu namun gagal terpilih.

Ditanya tidakkah dia berasa penyertaannya di dalam Gadis Melayu sebagai salah tempat, gadis berasal dari Johor dan baru melepaskan jawatannya sebagai pembantu klinik itu berkata, dia tidak tersilap tempat kerana dia memang sentiasa mengintai peluang untuk mencuba pelbagai cabang seni.

Saya minat menyanyi tetapi pada waktu sama, saya juga meminati cabang seni yang lain. Saya seorang yang sukakan sesuatu yang baru, sebab itu saya memberanikan diri mencuba nasib di dalam Gadis Melayu.

“Kalau ada rezeki bergelar pengacara, pelakon dan penyanyi, saya akan cuba raih peluang itu. Insya Allah, semuanya bergantung kepada rezeki kerana itulah minat saya. Jika ada rezeki, saya percaya ia takkan ke mana,” katanya.


Disiarkan selama 10 minggu di TV9 bermula 27 Ogos

Calon terpilih;

# Afiqah Hazwani Md Nordin, 18 (Johor)
# Fatheen Nabila Ghazali, 24 (Johor)
# Norazrina Mohd Salleh, 25 (Selangor)
# Norhidayah Samsudin, 21 (Johor)
# Nor Shamimi Ernida Mansor, 20 (Kedah)
# Nur Diana Zainuddin, 19 (Pulau Pinang)
# Siti Amira Mustakhim, 25 (Kedah)
# Siti Mastura Mohamed Saleh, 24 (Pahang)
# Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21 (Selangor).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top