Selepas berakhirnya Mentor 4 pada 4 Julai lalu yang menyaksikan Ziana Zain dan Mohd Izwan Mohd menjadi juara, program khas ini diterbitkan sebagai tanda Mohd meraikan kejayaan mereka mahupun pasangan peserta lain.
Ia turut disertai Adi Hamiz Johar (Adi) & Dayang Nurfaizah, Nurhadzwani Salleh (Nani) & Azmeer, Ila Damiaa Johar (Ila) & Joe Flizzow, Haimie Napsun (Ayim) & Mus May dan Mohd Shabini Ibrahim (Shaq) & Mas Idayu. Tidak ketinggalan penasihat Mentor 4, Ajai dan koreografer Sazlan.
Selalunya peminat hanya menyaksikan mentor dan protege menyanyi berduet dalam Mentor 4, sebaliknya Mentor Raya begitu berbeza kerana nyanyian hebat gandingan mereka hanyalah sebahagian segmen untuk memeriahkan program.
Penonton terhibur dengan segmen 'gameshow' yang penuh kejutan membabitkan protege bersama mentor mereka. Inilah keadaan yang memecah suasana Studio Sri Pentas 2 apabila adanya tugasan spontan sesama mereka dan pengacara Ally Iskandar serta Sazlan.
Siapa yang tidak pecah perut apabila Sazlan meminta Joe Flizzow dan Ila menari zapin. Biarpun kekok mereka tetap 'sporting' melakukan tugasan itu. Mus dan Ayim pula disuruh pengacaranya, Ally Iskandar supaya menukar lirik lagu Cintamu Mekar Di Hati kepada lagu raya bertemakan kuih bahulu.
Azmeer dan Nani pula diminta Ziana supaya meniru lakonannya dalam adegan filem Maria Mariana. Penonton ketawa tanpa henti apabila Azmeer disuruh berlakon dalam loghat Terengganu manakala Nani pula menggunakan loghat Negeri Sembilan.
Dayang dan Adi diberi tugasan oleh Mas Idayu supaya menyanyikan lagu Dikir Barat dalam loghat Sarawak.
Aksi Mas Idayu dan Shaq mengajuk gaya mentor dan protege lain juga menarik perhatian. Paling menggamatkan suasana tentunya gandingan Ziana dan Mohd yang diarahkan oleh Joe Flizzow supaya melakukan rapping lagu bertema raya. Gaya selamba mereka berdua membuatkan suasana begitu gamat dengan gelak ketawa semua yang berada di studio.
Bukan itu saja, Ally Iskandar dan Nas Ahmad turut tidak terlepas daripada deraan apabila disuruh oleh Mas Idayu supaya menari zapin. Walaupun mulanya membantah, namun atas desakan Mas Idayu serta penonton, kedua-duanya akur dan menuruti apa yang diarahkan.
Ada juga babak usik-mengusik sesama mentor seperti mana yang berlaku dalam konsert mingguan Mentor 4, namun ia sekadar gurauan. Rakaman yang dijalankan berlangsung dalam ceria tampak warna-warni apabila peminat juga diminta memakai baju Melayu dan baju kurung. Tidak salah dikatakan Mentor Raya satu program yang tidak harus dilepaskan pada Aidilfitri nanti.
Menjelaskan mengenai konsep Mentor Raya, penerbitnya Suffian Isa, berkata pihaknya berusaha menampilkan kelainan supaya penonton tidak jemu dengan program ini nanti. "Disebabkan ia akan menemui peminat ketika musim raya, kami ambil usaha ubah konsepnya supaya lebih menarik. Apatah lagi Mentor ialah program realiti nyanyian yang paling popular di TV3, kami perlu tampilkan keistimewaan. Selalunya Mentor dikaitkan dengan nyanyian, tapi kali ini kami tampilkan aksi kelakar pula.
"Mentor Raya musim lalu berjaya menarik perhatian kira-kira 2.2 juta penonton," katanya.
Sementara itu, sebelum segmen persembahan bermula, acara majlis dibuka dengan sesi penyampaian cek kepada semua pemenang Mentor 4 yang menyaksikan Mohd & Ziana Zain membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta trofi. Dayang & Adi (RM30,000) serta Azmeer & Nani (RM10,000).
Program selama sejam itu akan ke udara pada 19 September, jam 9 malam hanya di TV3.
0 ulasan:
Catat Ulasan