Antaranya menyemarakkan sambutan Ramadan dengan munajat di tengah malam dengan cara Qiamullail.
Menyedari bahawa sebilangan besar umat Islam tidak mahu ketinggalan daripada melepaskan peluang mencari keberkatan malam itu, saluran televisyen Astro, Oasis mengambil usaha menganjurkan Qiamullail.
Bakal berlangsung malam ini, dijangkakan lebih 4,000 umat Islam akan berhimpun di Masjid Ash Syakirin, Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Selain warga kota, majlis yang diadakan bersempena sambutan Indahnya Ramadan di masjid itu juga dijangka disertai oleh barisan 10 finalis Imam Muda.
Kesemua finalis program realiti terbitan Astro Oasis itu termasuk juara sulung, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan dijangka memeriahkan acara itu.
Sembilan yang lain iaitu Hizbur Rahman Omar Zuhdi, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, Ahmad Hazran Ahmad Kamal dan Nik Muhammad Adib Md. Amin, Nuri Ali Arba'in, Sharafuddin Suaut, Ahmad Syakir Zamri, Mohd Taufek Mohd. Noh dan Amiril Md Banin juga dijangka hadir sama.
Penganjur juga menjangkakan barisan ikon-ikon dan personaliti Astro serta beberapa artis terkenal juga ada menyuarakan keinginan untuk menghadiri majlis yang diadakan buat kali ketiga itu.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, pihaknya mengalu-alukan seramai mungkin umat Islam untuk sama-sama memeriahkan sambutan yang kebetulan diadakan pada malam cuti umum, Hari Kemerdekaan yang jatuh esok.
"Paling utama, kami yakin ramai yang mahu mengambil kesempatan mencari keberkatan Ramadan khususnya pada penghujung bulan itu dengan menghadiri majlis Qiamullail ini," katanya kepada Hits.
Majlis Qiamullail ujar Izelan, akan dipimpin oleh Ustaz Dzulkarnaian Hamzah Al-Hafiz bermula pukul 3 pagi (31 Ogos).
Katanya, majlis Indahnya Ramadan akan bermula dengan Tazkirah Ramadan pada pukul 6.45 petang 30 Ogos.
Majlis itu kemudian diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat maghrib dan solat isyak.
Tidak ketinggalan, pada majlis Indahnya Ramadan warga kota berpeluang mengerjakan solat sunat tarawih bersama imam jemputan dari Mesir selain tazkirah khas oleh salah seorang finalis Imam Muda.
Program Indahnya Ramadan itu dijayakan Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta akhbar Utusan Malaysia sebagai rakan media.
0 ulasan:
Catat Ulasan