Mungkin ada yang melihat kerjaya seni juara bintang realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi, 22, agak lewat bersinar apabila masih mempertaruhkan lagu ketika di final, Kebahagiaan Dalam Perpisahan. Sehingga kini, Shahir belum muncul dengan single baru ataupun melancarkan album solo.



Hakikatnya, Shahir tidak menang tangan menerima undangan persembahan dan tawaran berlakon drama serta filem. Ketika ini, Shahir sibuk di lokasi filem seram dan thriller terbitan KRU Studios, Karak. Sebelum ini, Shahir sibuk menjayakan rakaman Diariku...Shahir selain menjayakan drama.

Kata Shahir, dia bukannya tamak untuk merebut semua tawaran yang datang, sebaliknya menganggap ia rezeki daripada Tuhan.

"Saya sedar bukan selamanya saya akan bertahan dalam dunia seni tanah air kerana ia ada pasang surutnya. Justeru, peluang keemasan yang datang ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Saya juga memang minat berlakon dan tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang lakonan ini. Saya juga tertarik untuk berlakon kerana berpeluang menjadi orang lain dalam drama dan filem.

"Apabila dapat tawaran berlakon, saya percaya tidak ada salahnya saya mencuba bakat dalam bidang lakonan. Namun, jika tiada rezeki, saya dalam bidang lakonan, barulah saya fokus pada nyanyian semata-mata," katanya.

Kata Shahir, dia tiada asas dalam lakonan, hanya bersandarkan kelas lakonan ketika dalam AF8 dulu. Dia yang mengagumi pelakon Zul Huzaimy dan penyanyi Jamal Abdillah yakin untuk mencuba bakat dalam bidang lakonan.

"Terus terang, saya memang tiada asas dalam bidang lakonan. Namun, saya yakin untuk berlakon selepas menerima nasihat daripada tenaga pengajar lakonan dalam AF8, pelakon Que Haidar, Fatimah Abu Bakar dan Norman KRU yang meminta saya mencuba bakat dalam lakonan selain nyanyian.

"Sekalipun sudah berlakon, keutamaan tetap pada bidang nyanyian yang diminati sejak dulu," katanya.

Dalam filem Karak arahan Yusry Abdul Halim, Shahir memegang watak utama bergandingan dengan pelakon baru seperti Shira Aiyob dan Shakila (anak penyanyi Rohana Jalil).

"Saya memang minat cerita seram dan tidak lepaskan peluang buat cerita yang mengisahkan golongan pelajar itu. Saya juga mendapat bimbingan pengarah filem ini, Yusry ketika di lokasi penggambaran.

"Penggambaran filem ini bermula pada 19 Julai dan dijangka berakhir pada 13 Ogos nanti iaitu ketika kita mengerjakan Ramadan. Filem ini dijangka menjengah pawagam pada Mac atau April tahun depan iaitu selepas filem Merong Mahawangsa ditayangkan di pawagam.

"Ini filem pertama lakonan saya dan drama pertama pula ialah Lawaknya Fantasia Raya. Saya juga ada terima tawaran lain tapi saya menanti maklum balas orang ramai terhadap lakonan saya terlebih dulu. Selain itu, saya juga terbabit dalam program Marhaban Di Astro dan rakaman video klip raya pada Ramadan nanti," katanya.

Mengenai pembikinan album solo, kata Shahir, ia akan dimulakan selepas raya nanti. Bagaimanapun, sebelum itu, Shahir mempertaruhkan lagu raya, Tiba ciptaan Audi Mok. Lebih menarik, Shahir berduet dengan Faizal Tahir dan pastinya gandingan ini begitu dinantikan peminatnya.

"Rakaman lagu raya ini akan dilakukan tidak lama lagi. Saya gembira diberi peluang berduet dengan Faizal Tahir," katanya.

Shahir mengakui jadual hariannya sangat padat sepanjang Julai dan Ogos ini dengan penggambaran filem dan rakaman lagu raya. Jadual hariannya bermula jam 6.30 pagi dan berakhir pagi esok serta bersambung seterusnya.

"Memang memenatkan dan saya tiada masa untuk berehat. Bagaimanapun, saya ada cara mengatasi semua ini dan kembali mendapat tenaga. Caranya mudah saja dengan minum Brand's Essence Of Chicken. Wajah yang letih juga kembali segar.

"Saya kini dilantik sebagai duta produk itu. Sebenarnya, saya diperkenalkan dengan produk ini sejak AF8 lagi dan sejak itu mengambilnya setiap hari. Apabila dilantik menjadi duta produk ini, sudah tentu saya sangat teruja," katanya.

Selain Shahir, artis lain yang menjayakan kempen Generasi Hebat sebelum ini iaitu Choo Hou Ren dan bintang AF7, Hafiz, Akim dan Aril. Pengurus Cerebos (M) Sdn Bhd, Koh Joo Siang mengatakan, menerusi kempen ini, Brand's ingin menggalakkan rakyat Malaysia menerapkan sifat handal, Explorasi, Boleh, Aktif dan Tekun yang juga ramuan utama dalam melahirkan generasi baru di negara ini yang sentiasa berjuang untuk merealisasikan potensi masing-masing dan mempertingkatkan daya saing di persada dunia.

"Kejayaan Shahir memberi inspirasi kepada orang ramai kerana dia amat berbakat, berfikiran terbuka, berazam dan bersemangat tinggi. Justeru, Shahir sangat tepat dilantik sebagai duta kempen Brand's Generasi Hebat ini.

"Shahir akan terbabit dalam projek Generasi Hebat sempena kempen Ramadan dan Brand's akan mempromosikan saripati ayam sebagai sebahagian santapan sahur untuk memberi kecerdasan mental dan fizikal kepada umat Islam sepanjang Ramadan," katanya.

Sebagai insan popular, Shahir juga tidak terlepas daripada tempias gosip yang menjadi lumrah dunia seni. Shahir hangat digosipkan dengan rakan seperjuangan dalam AF8, Adira. Mereka dilihat agak mesra hingga dikatakan ada hubungan istimewa.

Namun, Shahir yang masih belum mempunyai teman istimewa menafikan perkara itu dan menegaskan mereka sekadar berkawan rapat dan tidak lebih daripada itu.

"Saya rapat dengan semua rakan dalam AF8 dan bukan Adira saja. Saya pun tidak tahu dari mana datangnya gosip itu. Dari segi wanita idaman pula, saya mencari wanita yang sejuk mata memandang. Saya juga tidak kisah dia artis atau orang biasa," katanya.

Mengenai kontroversi pula, Shahir yang menjadi Ikon Belia Negeri Perak 2010 mengakui berusaha memastikan dirinya bersih daripada segala kontroversi.

Katanya, dia lebih suka melihat gelaran itu dari sudut positif.

"Saya sedar harapan orang pada saya terlampau tinggi sedangkan saya bukanlah insan yang sempurna di dunia ini," katanya.

PROFIL SHAHIR

NAMA SEBENAR: Ahmad Shahir Zawawi
TARIKH LAHIR: 5 September 1988
TEMPAT LAHIR: Hospital Besar, Ipoh, Perak
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Graduan Diploma Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)
PENCAPAIAN: Juara AF8, Ikon Belia Negeri Perak 2010
DUTA: Brand's Essence Chicken, Generasi Hebat
SINGLE POPULAR: Kebahagiaan Dalam Perpisahan
PROGRAM: Diariku...Shahir (Astro)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top