Pendapat juri profesional Mari Menari (MM) terhadap persembahan MM Dita yang kurang menyerlah pada minggu ketiga sealiran dengan keputusan peratusan undian penonton setia MM apabila pasangan ini diumumkan hos, Awal Ashaari sebagai pasangan kedua tersingkir dalam rancangan Penentuan MM di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, malam tadi.

Pasangan ini hanya mampu meraih jumlah undian sebanyak 33% diikuti MM Yat yang menyusul dengan jumlah undian sebanyak 36%.

Bagaimanapun, Dita atau nama sebenarnya Rudita Mohd Yusop, 35, menyatakan mereka bagaikan sudah bersedia untuk menerima keputusan sedih ini.

"Sekiranya kami tak diumumkan sebagai pasangan yang tersingkir pada malam ini, kami juga terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri pada minggu ini. Ini bukan main-main. Keadaan yang memaksa kami bertindak sebegini disebabkan majikan suami saya (Mohamad Faidzal,42) sudah pun memberi amaran untuk dia memulakan tugasnya dengan segera.

"Suami saya hampir dibuang keje dan dia sudah pun menerima kiriman SMS dari bos dia yang berbau amaran. Pun begitu, jangan pula penonton salah anggap dan mengatakan ini keputusan yang dirancang pihak produksi. Memang kami mengambil keputusan untuk tarik diri tapi hasrat kami untuk memberi tahu penerbit selepas tamatnya program Penentuan malam ini.

"Jadi, mereka tak tahu apa tentang keputusan kami. Apapun, semuanya berlaku secara kebetulan. Allah dengar apa suara hati kami. Oleh itu, kami tak payah kata kami ni mahu tarik diri, nama kami dah pun dipanggil untuk tersingkir," kata Dita.

Ditanya lebih lanjut tentang keputusan ini, Dita menyatakan bahawa mereka sangat gembira kerana pasangan yang dikurniakan 5 cahaya mata ini berpeluang untuk menghadiri majlis anugerah malam gala kesenian sekolah di Johor Bahru yang mana 2 anak pasangan ini tercalon untuk menerima anugerah.

"Semua yang berlaku ada hikmah. Kami tersingkir tapi kami dapat datang ke majlis penuh makna untuk lihat anak kami terima anugerah pada minggu depan. Kami masuk MM pun bukannya untuk menang.

"Kami lakukan ini semua demi memenuhi impian anak kami yang mahu melihat kami menyertai pertandingan menari ini. Apa kes pun, kami akui persembahan kami malam tadi disebabkan ada insiden rambut tersangkut.

"Memang masa raptai ia tidak berlaku. Tapi masa latihan saya ada masalah terlupa tanggalkan skirt saya. Namun, nak kata kami salahkan rambut tak boleh juga. Apa yang boleh kami cakap, kami tahu kemampuan kami. Insiden ini tak boleh nak dijangka. Kami terima sajalah," jelas Dita.

Dalam pada itu, Dita sempat menyatakan beberapa pasangan yang dirasakannya layak untuk menjuarai MM atau pun paling tidak berada di final MM.

"Mengikut fahaman saya, MM dicipta khas buat mereka yang tak tahu menari dan hanya ada basic saja dalam bidang tarian. Jadi, saya rasa seronok kalau dapat lihat MM Rosdi, MM Jaya, MM Yat, MM Zul dan MM Fahmi yang menjadi juara MM.

"Apa yang saya kata ni bukannya nak cakap MM Razif tak layak jadi juara. Setahu saya, Raziff dan Alia memang penari. Kebetulan pula Alia pernah mendapat anugerah penari terbaik. Jadi, saya rasa anda semua boleh menilainya sendiri," ujar Dita.

Dengan penyingkiran MM Dita, bermakna tinggal lagi 10 pasangan lagi iaitu pasangan Raziff, pasangan Rosdi, pasangan Ariz, pasangan Nita, pasangan Zul, pasangan Fahmi, pasangan Yat, pasangan Masri, pasangan Zarin dan pasangan Jaya yang akan beradu nasib untuk merebut gelaran juara pertama MM.

Berikut adalah keputusan peratusan undian minggu ke-3

1. MM Raziff-55%

2. MM Nita-52%

3. MM Zul-48%

4. MM Jaya-48%

5. MM Ariz-45%

6. MM Masri-43%

7. MM Zarin-42%

8. MM Rosdi-38%

9. MM Fahmi-37%

10. MM Yat-36%

11. MM Dita-33%

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top