Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini, Otai Rock, Amy Search telah melancarkan single terbaru berjudul ‘Takbir Cinta’ yang dinyanyikan bersama penyanyi Yassin. Single yang juga merupakan gubahan dan tulisan Yassin itu adalah projek julung-julung kali Amy Search seteleh berpuluh tahun berada di dalam industri muzik.


Mengulas tentang perkembangan terbarunya itu, Amy memberitahu dia sangat teruja dengan single terbaru ini mengharapkan peminat boleh menerima dan menyukai lagu itu.

“Ini adalah lagu pertama saya yang dibuat sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan Aidilfitri. Kalau ikutkan saya memang sudah lama hendak berkerjasama dengan Yassin, tetapi disebabkan kekangan waktu, baru sekarang kami dapat berkolaborasi. Saya pilih Yassin kerana saya suka dengan lagu-lagu gubahannya. Malah, dia juga seorang penyanyi nasyid kontemporari yang baik,” jelas Amy.

“Proses rakaman mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana kami melakukan beberapa perubahan bagi mendapatkan hasil terbaik. Saya tidak ada masalah bekerja dengan Yassin kerana kami saling berbincang. Secara peribadi, saya menganggap lagu ini cukup istimewa kerana ia adalah projek pertama saya untuk lagu bergenre Balada Rock World Music, tambah Amy lagi.

Sementara itu, penyanyi yang baru menyambut ulangtahun kelahiran ke 53 ini juga sempat menafikan yang halatuju muziknya telah beralih arah. Jelas Amy, memang sejak kebelakangan ini dia terlibat dengan beberapa kolaborasi yang menjurus kepada lagu-lagu kerohanian dan spiritual, tetapi itu bukan bermakna dia telah melupakan irama rock.

“Untuk lagu-lagu bercorak ketuhanan seperti ini saya hanya lakukan untuk projek-projek tertentu. ‘Takbir Cinta’ ini misalnya, adalah untuk sambutan bulan Ramadhan dan Raya tahun ini. Rasanya tidak salah mencuba sesuatu yang berbeza,” ulas Amy ringkas.

3 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top